Ayahanda Haji Saufi (Pak Su Pi) dalam kenangan

Written by kelantankini on Aug 6th, 2008 | Filed under: Kelantan, PAS

Catatan Lanjusoh

KOTA BHARU: Perkataan takbir seringkali dilaungnya bagi menyemarakkan semangat orang ramai dalam satu-satu majlis. Kemudian orang ramai yang hadir menyambut dengan melaungkan Allahuakbar.

Ucapan itu sering didengari di mana sahaja beliau hadir. Celotehnya agak kelakar namun berkesan sehingga ke lubuk jiwa.

Beliau dikenali ramai kerana kepetahannya ketika mempengerusikan majlis ceramah dengan pelbagai coloteh. Di pentas mana beliau hadir, orang ramai yang mendengar tentunya tidak kering gusi.

Namun petang semalam beliau pergi buat selama-lamanya. Itulah Haji Saufi Osman, 66 yang lebih dikenali sebagai Ayahda Pak Su Pi.

Setiap kali berjumpa dengan orang yang dikenalinya beliau tidak segan mencium tangan. Gurau senda sudah agak lama tidak kedengaran.

Sejak diserang angin ahmar kira-kira dua tahun lalu beliau jarang kelihatan di majlis-majlis ceramah atau program anjuran kerajaan negeri.

Kalau dahulu kebiasaannya beliau akan berada di kaki lima Pejabat Perhubungan PAS Kelantan bagi mengikuti kuliah Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat setiap pagi Jumaat.

Di samping membantu petugas di situ menjual Harakah dan CD, mulutnya tidak sunyi daripada menyebut perkataan takbir. Orang ramai mudah mengenali suara itu.

Jasadnya kini sudah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuchelung, Bachok kira-kira jam 11 malam tadi.

Beliau meninggal dunia di rumah isteri keduanya di Bunut Payong dekat sini kira-kira jam 3.30 petang semalam akibat sakit strok.

Setiausaha PAS Bachok, Haji Huzaimi Che Hussin berkata, Allahyarham diserang penyakit angin ahmar kira-kira dua tahun lalu, namun sebelum ini sudah beransur pulih.

“Beliau bertugas sebagai Pegawai Halaqat Dun Tawang ketika hayatnya dan merupakan seorang aktivis parti yang begitu dikenali ramai di Kelantan.

“Pernah dilantik sebagai anggota jawatankuasa PAS kawasan Bachok dan ahli majlis Majlis Daerah Bachok,” katanya di sini.

Allahyarham terlibat dengan PAS sejak zaman Dato’ Asri Muda lagi. Malah ketika PAS menyertai kerajaan campuran pada 1973 beliau pernah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang.

Mendapat pendidikan agama di Pondok Bunut Payoang dan Pondok Pasir Tumboh.

Berita kematiannya petang semalam mengejutkan mesyuarat Perhubungan PAS Kelantan yang mana ketika itu sedang dipengerusikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Ekoran itu, Menteri Besar bergegas menziarahi jenazahnya sebelum dibawa pulang ke rumah isteri pertama di Kampung Kuchelong. Turut menziarahi jenazahnya hampir kesemua pemimpin PAS Kelantan dan kerajaan negeri.

Solat ke atas jenazahnya diimam sendiri anaknya seorang hafiz lulusan Mesir, Ustaz Nasharuddin yang kini mengajar di Maahad Tahfiz Pulai Chondong.

Adun Jelawat, Haji Abdul Aziz Kadir berkata, beliau banyak belajar tentang politik daripada Pak Su Pi.

Huzaimi berkata, kehilangan Ayahanda Pak Su Pi buat selama-lamanya sesungguhnya sukar dicari ganti. Beliau meninggalkan 10 anak, di mana seorang daripadanya dengan isteri muda.

Kira-kira 400 pemimpin masyarakat dan penduduk tempatan hadir menunaikan solat jenazah ke atasnya sebelum diusung pergi yang tidak kembali lagi. al-Fatihah.

Berita berkaitan:

Ayahanda Haji Saufi kembali ke rahmatullah

Share and Enjoy: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Book.mark.hu
  • De.lirio.us
  • e-mail
  • Furl
  • Netvouz
  • Technorati
  • YahooMyWeb
  • blogmarks
  • Live
  • StumbleUpon
  • Webnews.de


2 Responses to “Ayahanda Haji Saufi (Pak Su Pi) dalam kenangan”

  1. […] BHARU: Ayahanda Pak Su Pi atau nama sebenarnya Haji Saufi Osman, 66, meninggal dunia petang semalam kerana penyakit angin ahmar (stroke) yang dialaminya sejak dua […]

  2. […] Aug 6, 2008: Kelantankini - Berita Kelantan - Isu Politik Semasa - Terkini […]

Leave a Reply