Istana nafi TMB sakit jantung selepas menghadap sultan
KOTA BHARU, 27 Mei: Istana Kelantan hari ini menafikan bahawa Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob mendapat serangan jantung selepas menghadap Sultan Kelantan, awal pagi Sabtu lalu sebagaimana laporan beberapa akhbar.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Dato’ Abdul Halim Ahmad berkata Ahmad mengalami tanda-tanda mendapat serangan itu selepas menghadiri satu majlis di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa pada tarikh tersebut.
Abdul Halim turut menafikan laporan bahawa Ahmad menghadap Sultan Kelantan bagi memaklumkan beliau menjalankan tugas-tugas Menteri Besar berikutan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat bercuti menunaikan ibadah umrah di Mekah.
Sebaliknya kata beliau, Nik Aziz sendiri telah pun menyembah surat yang memaklumkan perkara tersebut bagi mendapat perkenan Sultan.
“Ingin saya jelaskan Dato’ Ahmad (Yakob) bukan mendapat serangan itu selepas menghadap Al-Sultan seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan pada Ahad lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Istana Balai Besar di Kota Bharu.
Pada sidang media itu Abdul Halim juga menjelaskan Sultan telah memperkenan hasrat Nik Aziz melalui sepucuk surat yang dijawab pada 13 Mei lalu.
“Al-Sultan telah ampuni perkenan dengan hasrat tersebut dan telah dijawab pada 13 Mei lalu kepada Dato’ Menteri Besar,” katanya.
Laporan Bernama menyebut, akhbar tempatan melaporkan bahawa Ahmad dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada jam 1 pagi selepas menghadap Sultan Kelantan untuk memaklumkan menjalankan tugas-tugas menteri besar berikutan Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat bercuti menunaikan umrah selama dua minggu bermula Sabtu lalu.
































Leave a Reply