TMB Kelantan dirawat di HUSM
Oleh Lanjusoh
KOTA BHARU, 25 Mei: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yakob dimasukkan ke wad ‘coronary care unit’ (CCU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), tengah malam semalam.
Menurut sumber, beliau mengadu sakit dada ketika menghadiri program anjuran Badan Perhubungan PAS Kelantan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) selepas selesai menunaikan solat Maghrib.
Ekoran itu beliau dibawa menjalani rawatan awal di sebuah klinik swasta di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa. Selepas itu kembali ke rumahnya di Pasir Pekan.
Bagaimanapun kira-kira jam 12 tengah malam beliau mengadu sakit lagi, kemudian anggota keluarganya membawa ke unit kecemasan HUSM sehingga ditahan di wad CCU,” menurut sumber.
Ahmad ditempatkan di wad Mutiara CCU dan keadaan dilaporkan stabil. Namun doktor menasihatkan beliau rehat secukupnya.
Dan pagi ini beliau difahamkan menjalani rawatan coronary angiogram.
Jurucakap pejabat Timbalan Menteri Besar pula memberitahu Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anggota-anggota Exco serta pegawai kerajaan menziarahinya di wad berkenaan, pagi semalam.
Turut menziarahinya petang semalam Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.
































Leave a Reply