BN tidak lagi hadapi laluan mudah di Parlimen

Written by kelantankini on Apr 29th, 2008 | Filed under: Minda

29 Apr | 7.50am
PERSIDANGAN penggal pertama Parlimen ke-12 yang bermula dengan acara angkat sumpah semalam mencatat sejarah tersendiri apabila 99 anggotanya adalah muka baru, manakala jumlah pembangkang bertambah lebih empat kali ganda iaitu 82 orang.

Satu lagi sejarah dicipta apabila wakil Permatang Pauh, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dilantik sebagai Ketua Pembangkang wanita pertama apabila parti pimpinannya, Parti Keadilan Rakyat (PKR), memenangi kerusi paling banyak berbanding parti Pakatan Rakyat lain.

“Kami akan mengetengahkan banyak isu mengenai ekonomi, rasuah dan ketelusan bidang kehakiman,” kata Dr Wan Azizah yang dipetik media mengenai peranan parti pembangkang dalam sidang kali ini.

Hasrat beliau itu boleh dicapai jika dilihat kepada barisan wakil rakyat dari PR di Parlimen. Lebih-lebih lagi mereka yang pernah berada dalam Parlimen tetapi tidak terpilih pada penggal lalu kini tersenarai semula.

Sudah tentu mereka ini akan menggunakan pengalaman dulu untuk menghadapi wakil BN di Parlimen nanti. Tokoh-tokoh seperti Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Ketua Penerangan, Mahfuz Omar dan mantan Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Taib Azamuddin Mohd Taib.

Tidak terkecuali Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan bekas Ketua Umno Pasir Mas, Dato’ Ibrahim Ali.

Dalam sidang semalam, tokoh politik veteran dari Sabah, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, mengangkat sumpah dan dimasyhurkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Wakil Santubong (Sarawak), Dato’ Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan wakil Beluran (Sabah), Dato’ Ronald Kiandee, masing-masing kemudian dipilih sebagai timbalan speaker melalui undi sulit selepas tiga nama dicalonkan untuk jawatan itu.

Manakala acara mengangkat sumpah anggota-anggota Dewan Rakyat didahului oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi diikuti 221 anggota yang lain.

Dewan kemudian ditangguhkan untuk istiadat pembukaan yang akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini.

Mesyuarat penggal kali ini akan bersidang selama 16 hari sehingga 27 Mei.

Share and Enjoy: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Book.mark.hu
  • De.lirio.us
  • e-mail
  • Furl
  • Netvouz
  • Technorati
  • YahooMyWeb
  • blogmarks
  • Live
  • StumbleUpon
  • Webnews.de


Leave a Reply