Kita hanya dapat batu, bukan pulau

Written by kelantankini on May 24th, 2008 | Filed under: Minda

Oleh A Kadir Jasin

[TERKINI, 23 Mei] –KHIDMAT SMS akhbar The Star melaporkan “International Court of Justice decides 12 to 4 that Pulau Batu Puteh belong to Singapore and 15 to 1 that Middle Rocks belongs to Malaysia.

(Mahkamah Keadilan Antarabangsa memutuskan 12 lawan 4 yang Pulau Batu Puteh milik Singapura dan 15 lawan 1 yang Middle Rocks milik Malaysia.)

Pandangan dan kesimpulan awal saya adalah, dalam bahasa paling mudah — bahasa yang disebut-sebut oleh rakyat jelata kita — kita sebenarnya KALAH.

Rakyat jelata kita tahu pertikaian ini atas nama Pulau Batu Puteh. Kerajaan kita pun berhujah atas nama yang sama.

Sekarang Pulau Batu Puteh sah milik Singapura. Yang kita dapat adalah Middle Rocks — BATU bukan PULAU — yang hampir-hampir tidak pernah disebut dalam kenyataan kerajaan.

Maka dari aspek psikologi dan propaganda, kita kalah kerana minda kita mahu menang Pulau Batu Puteh tetapi sebaliknya kita diberikan Middle Rocks.

Kita tunggu dan lihat bagaimana pakar-pakar ‘spin‘ media massa arus perdana akan mengolah berita ini untuk menyedapkan hati kita.

Dengan terlerainya kebuntuan ini, apakah pemerintah kita akan terus berdiam diri mengenai isu-isu tergantung yang lain seperti Jambatan Bengkok, perjualan air kepada Singapura, tanah KTM di Singapura dan wang rakyat Malaysia dalam Tabung Simpanan Pusat (CPF) Singapura?

[Posting asal] – AKHBAR New Straits Times hari ini (22 Mac) bertanya: Will Pulau Batu Puteh be adjudged ours? (Adakah Pulau Batu Puteh akan diputuskan sebagai milik kita?”)

Soalan yang serupa pasti bermain di fikiran banyak rakyat Malaysia, khasnya orang Melayu, yang sangat mengambil berat dan cukup emosional mengenai isu wilayah dan kedaulatan.

Mengakui hakikat ini dan dengan hasrat agar mereka melihat dan mendengar sendiri berita yang mendebarkan itu, stesen televisyen milik negara, RTM1 akan menyiarkan secara langsung penghakiman oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mulai pukul 4 petang esok (Jumaat).

Bernama memetik Menteri Penerangan Ahmad Shabery Cheek sebagai berkata siaran langsung dari The Hague, Belanda itu akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia mengikuti prosiding kes berkenaan melalui kaca mata Malaysia.

Dalam posting bertajuk Pulau Batu Puteh: Siapa Lebih Bersedia?” dalam blog ini pada 23 November tahun lalu, saya, antara lain, mengulas:

“Sekiranya Malaysia menang perbicaraan di Mahkamah Pengadilan Antarabangsa di bandar raya The Hague, Belanda, bagi mendapatkan Pulau Batu Puteh, puji-pujian yang melimpah luah pastinyalah akan diberikan kepada perwakilan negara.

“Tetapi seandainya Malaysia gagal, pasti ada orang dan pihak yang akan berkata ia adalah kehendak takdir maka kita terima sahajalah. Menyalahkan takdir sudah menjadi amalan ramai pembesar di Malaysia. Tanah runtuh, salahkan takdir, bangunan runtuh, salahkan takdir, mayat bergelimpangan di jalan raya, salahkan takdir.”

Ahmad Shabery mengaku bahawa banyak rakyat Johor begitu memandang berat peristiwa ini sehingga ada yang mengadakan doa selamat dan sembahyang hajat agar keputusan kes itu memihak kepada Malaysia.

Bagaimanapun, kata beliau, Malaysia dan Singapura telah berjanji akan akur kepada keputusan ICJ dan pihak yang menang tidak akan mengadakan sebarang sambutan kemenangan.

Abdul Kadir Mohamad, Penasihat Hal Ehwal Luar Negara kepada Perdana Menteri, yang hadir di majlis taklimat itu berkata Malaysia ingin mempamerkan kepada dunia bahawa ia sebuah negara yang patuh kepada undang-undang dan akan menerima sebarang keputusan ICJ sebagai suatu keputusan muktamad.

Katanya bagi Malaysia, kes Pulau Batu Puteh lebih merupakan “isu rakyat”, tetapi bagi Singapura, ia lebih merupakan “isu kerajaan”.

Saya harap kenyataan Abdul Kadir itu tidak membawa maksud bahawa Kerajaan Malaysia tidak seserius Kerajaan Singapura menangani masalah ini atau rakyat Malaysia lebih serius daripada Kerajaan Malaysia.

Pada pandangan saya, Kerajaan Malaysia perlu lebih peka kepada sentimen dan reaksi rakyat jelata kita daripada Kerajaan Singapura kerana rakyat Malaysia lebih proaktif, lebih tinggi kesedaran politiknya dan lebih bebas membuat pilihan.

Sebaliknya, walaupun rakyat Singapura terkenal dengan sifat “kiasu” (takut kalah dalam dialek Hokkian) namun mereka tidak begitu terbuka dalam menyatakan pendapat dan memperlihatkan emosi.

Lagipun, manakala Kerajaan Malaysia baru sahaja diberikan tamparan hebat oleh pengundi pada pilihan raya 8 Mac lalu, Kerajaan Singapura boleh “goyang kaki” kerana pembangkang sangat lemah di republik pulau itu.

Dalam posting 23 November itu juga, saya membuat pemerhatian berikut:

“Kalau Malaysia menang dan kemenangan itu disebabkan pencapaian perwakilannya, maka pastilah ada orang akan mendabik dada mengatakan bahawa Malaysia mempunyai kemampuan minda yang hebat dan superior.

Mengapa saya berkata begitu? Kerana dari sudut perwakilan, Singapura jelas mengemukakan sebuah pasukan peringkat tinggi yang cukup hebat.

Manakala kita hanya menghantar perwakilan peringkat pegawai.Pasukan Singapura, mengikut laporan media, diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras Keselamatan Nasional dan Menteri Undang-Undang, Prof. S. Jayakumar dan dibantu oleh Ketua Hakim Negara Chan Sek Keong, Peguam Negara Chao Hick Tin dan Duta Bebas (Ambassador-at-Large) Prof. Tommy Koh.Mereka disokong pula oleh panel peguam antarabangsa yang terdiri daripada Ian Brownlie Q.C, Prof. Alain Pellet, Rodman Bundyn dan Loretta Malintoppi.

Manakala pasukan Malaysia dikepalai oleh Duta Bebas merangkap penasihat hal ehwal antarabangsa kepada Perdana Menteri, Abdul Kadir Mohamad yang juga berupa kepala delegasi Malaysia bagi rundingan Jambatan Bengkok dengan Singapura.

Umum tentu tahu apa yang terjadi kepada rundingan berkenaan – projek di wilayah Malaysia sendiri terpaksa dibatalkan kerana kononnya ditentang dan diancam oleh Singapura!

Abdul Kadir dibantu oleh Duta Malaysia ke Belanda Noor Farida Ariffin dan Peguan Negara Abdul Ghani Patail dan disokong oleh panel perundangan antarabangsa terdiri daripada Sir Elihu Lauterpacht dan James Crawford, kedua-duanya profesor undang-undang antarabangsa Universiti Cambridge, Nicolaas Jan Schrijver, profesor undang-undang awam dan antarabangsa Universiti Lieden, Belanda, Marcelo G. Kohen, profesor undang-undang antarabangsa, Institut Pengajian Antarabangsa, Geneva, Switzerland, dan Penelope Nevill, Downing College, Universiti Cambridge.”

Apa pun kesudahannya, kita tidak perlu menunggu lama lagi. Hanya sehari lagi kita akan tahu sama ada Pulau Batu Puteh akan kembali menjadi hak milik kita “selagi ada bulan dan matahari” atau ia akan kekal dalam pendudukan Singapura.

Share and Enjoy: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Book.mark.hu
  • De.lirio.us
  • e-mail
  • Furl
  • Netvouz
  • Technorati
  • YahooMyWeb
  • blogmarks
  • Live
  • StumbleUpon
  • Webnews.de


One Response to “Kita hanya dapat batu, bukan pulau”

  1. […] Dengan terlerainya kebuntuan ini, apakah pemerintah kita akan terus berdiam diri mengenai isu-isu tergantung yang lain seperti Jambatan Bengkok, perjualan air kepada Singapura, tanah KTM di Singapura dan wang rakyat Malaysia dalam Tabung Simpanan Pusat (CPF) Singapura? …more […]

Leave a Reply