Dakwaan lompat parti mungkin benar - Ku Li

Written by kelantankini on Apr 27th, 2008 | Filed under: Nasional

27 Apr | 1.05am
ANGGOTA parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak menolak kemungkinan dakwaan PKR bahawa 30 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan melompat menyertai Pakatan Rakyat, boleh menjadi kenyataan.

“Saya kenal banyak ahli parlimen (BN) yang terpilih baru-baru ini adalah orang kuat (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) sewaktu beliau masih berkuasa dahulu dan mereka masih rapat dengan beliau.

“Kemungkinan mereka akan berpihak kepada PKR jika kita tidak mengambil tindakan tegas untuk mengawal perasaan mereka,” katanya ketika menjawab soalan dalam pertemuan dengan kira-kira 500 ahli Umno di sekitar Subang Jaya di sebuah hotel terkemuka semalam.

Sebelum ini, bekas menteri kewangan itu menyampaikan ucapan bertajuk ‘Halatuju umno selepas pilihanraya umum ke-12′ di wacana perubahan dan pemikiran anjuran pemimpin veteran Umno, Datuk Mazlan Harun di tempat yang sama.

Beliau menegaskan demikian ketika menjawab soalan hadirin berhubung kenyataan ketua umum PKR itu bahawa ahli-ahli parlimen BN di Sabah itu telah membuat keputusan untuk menyertai Pakatan Rakyat dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

“Kita tahu PKR begitu serius hendak kalah kita, bukan di peringkat negeri sahaja tetapi juga di peringkat persekutuan.

Perasaan pada Umno

“Hingga sekarang pun PKR hendak tumbangkan kita. Dia sudah dedahkan cita-citanya itu seperti yang dilaporkan dalam akhbar.

“Dia sudah kata dia ada cukup bilangan kerusi parlimen untuk tubuhkan kerajaan, kalau tidak pada 31 Ogos, mungkin pada 16 Ogos,” tambah Tengku Razaleigh.

“Ini bukan cakap main-main. Perasaan orang Sabah terhadap Umno tidak seperti kita di sini. Kita di sini dilahir dan dibesarkan dalam suasana Umno.

“Segala yang kita sentuh ada kaitan dengan perjuangan Umno. (Tetapi) perasaan orang Sabah tidak seperti perasaan orang Umno di sini, tidak tebal,” tegasnya.

Sehubungan itu, Tengku Razaleigh berkata, beliau bimbang dengan sikap pemimpin Umno yang tidak mengambil serius tentang perkara tersebut.

Di samping itu, katanya, isu-isu yang membabitkan Sabah sepertimana yang dibangkitkan oleh pemimpin Umno di negeri tersebut masih belum diselesaikan sepenuhnya.

PKR serius

“Walaupun pemimpin kita telah melawat Sabah untuk menyelesaikannya, tetapi saya diberitahu bahawa tidak ada penyelesaian yang dicapai,” tambahnya.

“Jangan fikir kita akan terus berkuasa…hanya 30 kerusi boleh ubah pemerintahan negara ini. Ini bukan sesuatu yang susah hendak dibuat,” tegasnya lagi.

Tengku Razaleigh berkata beliau terserempak dengan Anwar dalam penerbangan dari Kota Baru hari ini dan bertanyakan soalan itu kepada bekas timbalan perdana itu.

“Saya tanya beliau (mengenai perkara itu), jawabnya dia serius. Itu jawapan beliau kepada saya.

“Tidak terjamin kita boleh kekal, tidak terjamin, itulah sebabnya saya sendiri risau dengan sikap pemimpin kita (mengenai dakwaan tersebut),” tambah Tengku Razaleigh

Umno perlu berubah

Sementara itu, dalam ucapannya, Tengku Razaleigh berkata, usaha memulihkan kekuatan Umno mesti bermula dari dalam organisasi itu sendiri.

“Umno perlu periksa semula sistem dan peraturan yang baik dikekalkan manakala yang tidak baik, yang boleh melemahkam Umno, perlu diubah dan diganti dengan yang lebih baik,” katanya sambil menambah perubahan itu mestilah yang fundamental dan bukan di luaran sahaja.

Katanya, salah satu perubahannya ialah mengembalilkan demokrasi dalam Umno dan segala peraturan yang menyekat kebebasan Umno memilih pemimpin dan membuat Umno lemah, hendaklah diubah sebelum parti menjadi mangsa kepada peraturan tersebut.

Di samping itu, katanya, Umno mesti mengekalkan semangat kebangsaannya untuk kepentingan negara jika mahu terus kekal dan relevan sebagai ‘parti kebangsaan Melayu’ dan ‘parti kebangsaan negara’.

“Umno, walaupun adalah parti Melayu, mesti bergerak atas dasar kebangsaan, tidak atas dasar perkauman. Dasar kebangsaan bererti dasar untuk kepentingan negara, tidak untuk kepentingan etnik,” katanya.

Beliau berkata, jika Umno hendak mengatasi parti lain yang asasnya bercorak kaum, Umno mestilah mengamalkan visi, dasar dan matlamat yang bercorak kebangsaan, yakni merentas sempadan dan kepentingan etnik.

Katanya, beliau menimbulkan soal ini kerana tidak mahu Umno dianggap sebagai beban atau liabiliti oleh MCA, Gerakan dan MIC kepada Barisan Nasional (BN).

‘Anak hilang ibu’

Selain itu, katanya, kerajaan BN dan Umno juga tidak membenarkan suara orang Melayu dari badan bukan kerajaan (NGO) Melayu mengkritik dan cuba menyampaikan pandangan untuk kebaikan bangsa.

“Kadang-kadang mereka yang membantah dianggap pengkhianat kepada bangsa dan dituduh anti-kemajuan bangsa Melayu. Itulah budaya Umno sekarang,” katanya.

Ekoran itu, tegasnya, NGO yang tidak sedikit jumlahnya yang pro-kerajaan, semakin lama semakin tidak aktif dan tidak berani serta tidak berkesan lagi sebagai suara alternatif bangsa Melayu.

“(Akhirnya) mereka kehilangan ibu seperti anak ayam kehilangan ibu…jadi mereka mencari ibu tiri dan menyokong perjuangan parti lain seperti PAS dan lebih ketara lagi PKR.

“Hari ini bila Umno dan BN tidak kuat lagi, NGO inilah yang bangkit mengadakan forum membincangkan tentang permuafakatan Melayu dan nasib bangsa Melayu selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu, tanpa melibatkan parti-parti politik,” tambahnya.

Di samping itu, tegas Tengku Razaleigh, lebih ramai orang Melayu yang suka membaca blog dan tidak lagi membaca media perdana yang mereka anggap dikawal oleh kerajaan atau Umno. - Malaysiakini

***************

LAPORAN BERNAMA
Ku Li Percaya Hasrat PKR Ambil Alih Kerajaan Boleh Jadi Nyata

PETALING JAYA, 26 Apr: Hasrat Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengambil alih pentadiran negara dalam masa beberapa bulan akan datang tidak mustahil dan boleh menjadi kenyataan, kata Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata ini kerana memang ada kemungkinan anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) “menyeberang” ke pihak Pembangkang.

“Ini bukan cakap main-main, tak boleh kata ini tak boleh berlaku. Orang di Sabah tak begitu kuat rasa kecintaannya terhadap Umno, tak macam kita di sini yang lahir dan membesar dalam Umno dan segala benda yang kita sentuh ada kaitan dengan Umno.

“Saya juga tengok kebanyakan Anggota Parlimen yang terpilih adalah orang kuat (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dulu dan mereka masih berhubung rapat dengan Anwar,” katanya semasa sesi pertemuan dengan anggota Umno dari cawangan-cawangan sekitar Subang Jaya di sini hari ini.

Anggota Parlimen Gua Musang itu juga yakin Anwar serius dengan hasratnya mahu mengambil alih kerajaan.

“Tadi kebetulan semasa datang ke sini saya naik satu kapal terbang dengan beliau dan saya tanya beliau sendiri, dan beliau kata beliau serius,” katanya.

Tengku Razaleigh berkata berdasarkan kepada faktor-faktor itu, pemimpin BN wajar mengambil serius kenyataan Anwar kerana dengan hanya 30 kerusi Parlimen, kerajaan BN boleh tumbang.

“Jangan fikir kita boleh terus berkuasa. Kena ambil tindakan tegas untuk atasi masalah ini,” katanya yang turut melahirkan kebimbangan dengan sikap pemimpin BN sekarang berhubung isu itu.

Mengulas lanjut perkara itu kepada pemberita kemudian, beliau berpandangan pemimpin BN sekarang bersikap seolah-olah pengambilalihan kuasa oleh pembangkang tidak akan berlaku.

Ditanya mengenai keyakinannya bahawa terdapat kemungkinan Anggota Parlimen dari Sabah menyertai PKR, Tengku Razaleigh berkata keyakinan itu berdasarkan “suara-suara” dari negeri itu yang antara lain mengatakan bahawa mereka masih kurang senang dengan keadaan sekarang.

“Daripada apa yang saya dengar, mereka tidak mendapat apa yang mereka minta, misalnya lebih banyak perwakilan, maka perkara ini perlu diselesaikan,” katanya.

Kepada soalan lain, Tengku Razaleigh berkata beliau akan tetap bertanding jawatan presiden Umno sekalipun ketika pemilihan parti pada Disember nanti, jawatan itu telah dipegang oleh orang lain.

“Kalau saya diberi mandat saya akan bertanding,” katanya sambil menambah setakat ini hasrat beliau disambut baik oleh kebanyakan bahagian Umno.

Share and Enjoy: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Book.mark.hu
  • De.lirio.us
  • e-mail
  • Furl
  • Netvouz
  • Technorati
  • YahooMyWeb
  • blogmarks
  • Live
  • StumbleUpon
  • Webnews.de


One Response to “Dakwaan lompat parti mungkin benar - Ku Li”

  1. Tengku Razalegh tu sebenarnya gila nak jadi PM sejak dari dulu lagi tapi tak dapat. Gua harap itu Tengku duduk diam-diam lagi bagus la. Pihak pemerintah tarak mau sama dia dan pihak pembangkang pun tarak suka ini worang.

Leave a Reply