Ezam sah sertai Umno, serah borang di bangunan Parlimen
KUALA LUMPUR, 28 Mei: Segala spekulasi mengenai kemasukan semula bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Noor ke pangkuan Umno akhirnya ternoktah apabila beliau menyerahkan borang keahlian untuk menyertai semula parti itu petang ini.
Bekas orang kanan Penasihat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu menyerahkan borang menyertai Umno kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Abdullah membuat pengumuman kemasukan semula Ezam ke dalam Umno dalam sidang media selepas kedua-duanya mengadakan pertemuan hampir sejam di bangunan Parlimen. (Live Parlimen)
Menurut Abdullah, Ezam menyertai semula Umno tanpa sebarang syarat atau keistimewaan.
Sebelum ini, Ezam dilaporkan akan dilantik sebagai senator dan menerajui sebuah syarikat berkaitan kerajaan selepas menyertai semula Umno.
Abdullah berkata, Ezam mahu kembali semula kepada Umno dan parti itu mengalu-alukannya.
Ketika di luar Umno, tambah perdana menteri, Ezam begitu kritikal terhadap parti tersebut.
Bagaimanapun, katanya, mungkin Ezam sudah mengubah fikirannya dan menganggap umno sebagai platform yang betul untuknya.
Abdullah turut memberitahu media dengan kembalinya Ezam ke pangkuan Umno akan menambahkan lagi kekuatan parti itu.
Sidang media berkenaan menarik perhatian puluhan wartawan dalam dan luar negara.
Ezam dijangka akan ditemubual secara langsung oleh sebuah stesen televisyen malam ini berhubung kemasukannya ke dalam Umno.
































[…] telah menyerahkan borang keahlian untuk menyertai semula Umno, kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad […]