Negara ‘huru hara’ ekoran kenaikan harga minyak

Written by kelantankini on Jun 5th, 2008 | Filed under: Nasional

KOTA BHARU, 5 Jun: Pengumuman mengejut kenaikan harga petrol dan diesel sehingga 40 peratus oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menyaksikan stesen minyak di seluruh negara sesak teruk dengan ratusan kenderaan.

Tinjauan di sekitar ibu negara mendapati semua stesen minyak di ibu negara menjadi sesak dan hampir tidak terkawal.

Di sebuah stesen minyak di Jalan Pahang Barat dekat Bulatan Pahang misalnya para pemilik kenderaan berpusu-pusu mengisi bahan bakar tersebut ke kenderaan masing-masing.

Keadaan serupa berlaku di stesen minyak Petronas di Jalan Tun Razak mengakibatkan kesesakan teruk di sepanjang jalan berkenaan.

Seorang petugas di stesen Caltex di Jalan Pahang yang enggan dikenali berkata, keadaan agak sukar dikawal kerana para pengguna seolah-olah diserang histeria.

“Seawal jam 5 petang kenderaan mula berpusu. Ramai yang serbu sehingga ada beberapa pelanggaran kecil dan situasi di hadapan Hospital Tawakal sesak teruk,” jelasnya.

Seorang penunggang motosikal, Birang Abdullah, 58, berkata ada pengusaha stesen yang sengaja menutup perniagaan lebih awal.

“Ini dah stesen keempat saya masuk. Sebelum ini beberapa stesen mereka tutup dan hanya dibuka satu atau dua pam sahaja.

“Bila kita soal mereka kata minyak dah habis. Mana boleh begitu, takkan baru jam 6 petang dah habis. Mesti mereka berkomplot nak jual dengan harga baru lepas tengah malam tadi,” marahnya setelah gagal untuk mengisi minyak di beberapa stesen minyak sebelum itu.

Kesemua stesen minyak yang terletak di sekitar bandar raya “ditawan” dalam masa beberapa minit sahaja selepas kenaikan bahan api diumumkan Abdullah.

Kesesakan lalulintas menyebabkan polis trafik terpaksa ditugaskan bagi mengawal keadaan di beberapa jalan yang sesak teruk.

Ada juga kenderaan yang kehabisan petrol, akibat terperangkap terlalu lama dalam kesesakan lalulintas dan ada juga yang berlanggar sesama sendiri untuk berebut mengisi petrol.

Share and Enjoy: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Book.mark.hu
  • De.lirio.us
  • e-mail
  • Furl
  • Netvouz
  • Technorati
  • YahooMyWeb
  • blogmarks
  • Live
  • StumbleUpon
  • Webnews.de


Leave a Reply