Petrol: Kenaikan terburuk dan melampau

Written by kelantankini on Jun 5th, 2008 | Filed under: Nasional

KUALA LUMPUR, 5 Jun: Para pemimpin Pakatan Rakyat menyifatkan kenaikan harga petrol dan diesel pada kadar 41 peratus mulai hari ini sebagai yang terburuk dalam sejarah negara.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Kamaruddin Jaffar berkata sebagai negara pengeluar minyak, kerajaan tidak sepatutnya menaikkan harga bahan bakar itu sebegitu tinggi walaupun ia adalah fenomena dunia yang tidak dapat dielakkan.

Beliau memberi contoh India yang bukan negara pengeluar minyak hanya menaikkan harga petrol sebanyak 10 peratus hari ini.

Dalam pada itu, ganjaran pemberian rebat dalam bentuk wang tunai kepada pemilik motosikal dan kereta pada akhir tahun tidak akan meringankan beban rakyat yang sebelum ini terhimpit dengan kenaikan harga barang-barang keperluan seperti beras, ayam dan tepung.

Kamaruddin berkata, pemberian RM625 setahun bagi kenderaan berkapasiti enjin sehingga 2,000cc serta trak pikap dan jip berkapasiti sehingga 2,500cc hanya menjimatkan RM2 sehari.

Menurutnya, beban rakyat dapat diatasi segera dengan menaikkan gaji kakitangan awam dan menetapkan gaji minimum RM900 seperti dicadangkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC), baru-baru ini.

“Lazimnya, apabila harga bahan bakar naik, kesan kepada kos kehidupan akan melambung dan inflasi meningkat,” katanya.

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar menyifatkan keputusan kerajaan sebagai tindakan yang terlampau.

Katanya, kerajaan pimpinan Abdullah Badawi sekali lagi menipu rakyat dengan tidak memberikan sebarang petanda terus mengumumkan kenaikan harga minyak pada tahap tertinggi.

“Sedangkan sebelum ini kenaikan dikatakan akan dikaji dan berkemungkinan akan berlaku pada Ogos ini,” ujar Mahfuz.

Namun tanpa sebarang ’signal’ awal, kerajaan terus memperbodohkan rakyat dengan menaikkan sekali lagi harga minyak pada satu tahap yang cukup menjerat kehidupan mereka.

“Ini keputusan dari kerajaan yang terlampau, rakyat dihadiahkan dengan kenaikan RM0.78 sen harga petrol sementara diesel sehingga RM1.00. Ini satu kenaikan yang tertinggi yang pernah dicatatkan,” ujarnya.

Ketua Penerangan PKR, Tian Chua berkata, kenaikan harga petrol dan diesel itu akan memberi kesan yang buruk kepada ekonomi negara.

Beliau menegaskan, sekiranya kemampuan rakyat untuk membeli menurun, maka negara akan mengalami pertumbuhan ekonomi yang negatif.

Justeru, katanya, apabila ini berlaku ia akan menjejaskan perusahaan kilang-kilang kecil serta peluang pekerjaan turut terjejas.

Sementara itu Malaysiakini membayangkan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil risiko politik yang besar apabila mengurangkan subsidi, menyebabkan kenaikan harga bahan api dan tarif elektik, tidak lama selepas Barisan Nasional (BN) kalah teruk dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Ini ekoran kenaikan harga makanan dan bahan api merupakan antara faktor utama yang mendorong rakyat mengundi pembangkang dalam pilihanraya umum lalu.

Malah, kekalahan teruk BN, khususnya Umno, telah mencetus desakan supaya perdana menteri meletak jawatan.

Pakar ekonomi Yeah Kim Leng dari firma Ratings Agency Malaysia berkata kenaikan harga tidak boleh dielakkan tetapi apa yang berlaku adalah di luar jangkaan.

“Kita menjangka (kenaikan) 20 hingga 30 peratus tetapi naik 40 peratus dan ini bermakna kerajaan cuba menampung kos kerana tidak menaikkan harga pada tahun lalu,” katanya kepada AFP.

Share and Enjoy: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Book.mark.hu
  • De.lirio.us
  • e-mail
  • Furl
  • Netvouz
  • Technorati
  • YahooMyWeb
  • blogmarks
  • Live
  • StumbleUpon
  • Webnews.de


Leave a Reply