Umno pilihan Ezam?
KUALA LUMPUR, 28 Mei: Selepas menimbulkan berbagai andaian mengenai arah tuju politiknya, Pengerusi Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) Mohamad Ezam Mohd Nor dijangka mengumumkan keputusan beliau untuk kembali menyertai Umno hari ini.
Menurut sumber daripada laman web KLpos, pengumuman mengenai kemasukan Ezam semula ke dalam Umno akan dibuat oleh Presiden Umno, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.
“Ya Ezam sudah membuat keputusan, dan kini hanya menunggu pengumuman rasmi daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sahaja,” kata sumber terbabit.
Berita mengenai kemungkinan Ezam — yang dipecat dari Umno oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998 — kembali ke pangkuan parti lamanya itu telah banyak kedengaran sebelum ini.
Spekulasi Ezam akan menyertai Umno banyak dibuat media arus perdana walaupun bekas Ketua Angkatan Muda PKR itu belum membuat pengumuman rasmi parti mana yang akan disertainya.
Sebelum ini Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata parti itu boleh menerima Ezam sebagai ahli biasa.
“Beliau adalah ahli biasa (sekiranya menyertai Umno). Saya tidak mempunyai kedudukan untuk menawarkannya sebarang jawatan. Itu terpulang kepada pucuk pimpinan,” kata Muhammad.
Beliau juga berkata Umno tidak ada masalah untuk menerima Ezam dan juga mana-mana individu yang berminat menyertai parti itu sama ada mereka bekas anggota yang keluar parti atau anggota baru.
“Saya fikir beliau seorang bekas anggota parti yang ingin kembali semula kepada parti. Kalau ada keinginan, saya fikir Umno tidak ada halangan seperti yang berlaku pada masa yang lepas,” katanya.
































Leave a Reply