MB, Ketua Menteri Pakatan Rakyat atur pertemuan
25 Apr | 7.55pm
KOTA BHARU: Pertemuan antara semua Menteri Besar dan ketua Menteri negeri yang diterajui Pakatan Rakyat akan diatur dalam tempoh terdekat bertujuan memantapkan pentadbiran kerajaan negeri terbabit.
Sebagai ketua kerajaan paling senior dan lebih berpengalaman Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat telah diminta untuk mengetuai dan mengatur pertemuan tersebut.
Penasihat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata pertemuan membabitkan empat menteri besar dan seorang ketua menteri itu juga bagi mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Mursyidul Am PAS itu yang mempunyai pengalaman luas sepanjang 18 tahun mengetuai kerajaan Kelantan.
Anwar juga berkata Tuan Guru Nik Aziz pada dasarnya telah memberikan persetujuan dan pertemuan itu akan diadakan secepat mungkin.
“Sebagai pemimpin yang lebih senior, Menteri Besar Kelantan akan diminta untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan cara dan kaedah pentadbiran oleh pembangkang ini,” kata Anwar kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz di JKR 10 hari ini.
Antara yang akan diperbincangkan kata Anwar adalah isu mengenai pelaburan, pembangunan dan yang lebih penting hubungan dua hala antara negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat dengan kerajaan Pusat.
Lima negeri yang dikuasai pembangkang selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu ialah Kelantan, Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.
Kelantan bagaimanapun telah ditadbir oleh PAS sejak 1990 lagi.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut meminta semua Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat membantu kerajaan pusat untuk menangani pelbagai masalah berkaitan rakyat termasuk isu bekalan beras ketika ini.
“Apa sahaja yang berkaitan rakyat, kami di pihak pembangkang bersedia membantu apa yang perlu dan kerjasama antara kami dengan Pusat akan terjalin dengan lebih baik,” katanya.
































Leave a Reply