Pulau Pinang turut larang program “Islam Hadhari”
PULAU PINANG, 27 Mei: Kerajaan negeri akan mengikut jejak Selangor yang melarang sebarang bentuk program mempromosikan Islam hadhari.
Timbalan Menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin berkata beliau bersetuju dengan langkah diambil kerajaan negeri Selangor, seperti diumumkan exco, Dato’ Dr Hassan Mohamed Ali di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Katanya, larangan itu bertujuan untuk “mengembalikan ajaran Islam sebenar”, kerana menyedari konsep Islam hadhari yang diperkenalkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menyalahi prinsip sebenar Islam.
Beliau juga menganggap pendekatan Islam hadhari seolah-olah mewujudkan mazhab baru dalam Islam.
“Ajaran Islam sekarang sudah sempurna (seperti dinyatakan dalam al-Quran). Jadi, tidak perlu dibuat sebarang tokok tambah lagi.
“Negeri (Pulau Pinang) akan mengambil tindakan yang sama (seperti Selangor) dalam masa terdekat,” kata Mohammad Fairus.
Semalam, Hassan Ali dilaporkan berkata, semua masjid dan surau di Selangor diarah tidak mengadakan sebarang program yang menyentuh konsep Islam itu yang diperkenal Abdullah Badawi sejak empat tahun lalu.
































Leave a Reply