Speaker tolak usul Pulau Batu Puteh
KUALA LUMPUR, 27 Mei: Usul tergempar di bawah Perkara 18 (1) yang dibawa Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) mengenai kes Pulau Batu Puteh ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia atas alasan tidak perlu disegerakan.
Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Salahuddin beberapa kali bangun mendesak budi bicara Speaker agar meluluskan usul tersebut untuk dibahaskan.
Katanya perkara itu perlu dibahaskan kerana ia menyentuh soal kedaulatan dan keselamatan negara.
Salahuddin berkata kes kekalahan Pulau Batu Puteh kepada Singapura perlu diambil iktibar oleh kerajaan kerana peristiwa serupa kemungkinan akan berulang selepas ini.
Bagaimanapun Speaker Dewan Rakyat tetap dengan pendiriannya enggan membenarkan Salahuddin meneruskan usul itu untuk dibahaskan.
“Saya bangun merayu dan menggunakan pelbagai peraturan mesyuarat di bawah perkara 18 (1) 3B, saya merayu demi rakyat Malaysia, demi maruah dan kedaulatan negara supaya usul ini diambil perkiraan oleh Dewan Rakyat.
“Biarlah negara mencacatkan sejarahnya sendiri apabila Parlimen hari ini membincangkan soal kedaulatan negara yang terlepas kepada Singapura ini, ini soal kedaulatan saya tidak akan duduk selagi ia tidak dibincangkan,” ujarnya dengan nada yang tegas.
Menurut Salahuddin, perbahasan usul ini amat penting bagi Parlimen merakamkan penjelasan bagaimana kegagalan dan kelemahan pasukan pembela kerajaan menyediakan bahan bukti dalam perbicaraan kes Batu Puteh ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat bangun untuk menyokong usul itu apabila Salahuddin meminta sekurang-kurangnya 15 orang ahli Dewan Rakyat bangun bagi menyokong permintaannya di bawah Perkara 18 (1) 3B.
Namun usul itu tetap ditolak Speaker Dewan Rakyat dari dibahaskan.
































Leave a Reply