Pemuda PAS Johor desak Bernama mohon maaf

Written by kelantankini on Apr 30th, 2008 | Filed under: PAS

PEMUDA PAS Johor mendesak agensi berita Bernama memohon maaf dan membetulkan laporannya yang mendakwa ketua pergerakan itu turut mengiringi seorang pelajar ke balai polis dalam kes hasutan bunuh terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Ketuanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata Pemuda PAS negeri bersedia menyaman agensi berita nasional itu jika “permohonan maaf dan penjelasan secara terbuka tidak dilakukan dalam tempoh tujuh hari” mulai hari ini.

“Saya cukup terkilan kerana saya dan Pemuda PAS Johor telah dikaitkan secara langsung sehinggakan nama saya telah disiarkan tanpa mendapatkan maklumat terus daripada saya oleh wartawan Bernama,” kata Khairul Faizi.

“Setelah berita ini disiarkan, saya telah mendapat kritikan daripada beberapa pihak terhadap tindakan saya kerana (disalahanggap) telah mengiringi pelajar tersebut ke balai polis sedangkan perkara tersebut tidak ada kaitannya secara langsung dengan saya dan Pemuda PAS Johor.”

Bernama kelmarin melaporkan, pelajar kolej berumur 19 tahun menyerah diri kepada polis berhubung dakwaan menghasut bagi pembunuhan Karpal, yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor, dalam laman web PAS Johor.

Remaja itu yang dilaporkan diiringi bapanya dan empat anggota Pemuda PAS negeri yang diketuai Khairul Faizi tiba di balai polis Johor Bahru selatan pada pukul 1 tengah hari.

Selepas keterangannya direkodkan oleh polis, lapor agensi berita itu lagi, pelajar itu ke pejabat naib pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez pada 4 petang.

Khairul Faizi semalam telah menafikan penglibatannya dan juga barisan pemimpin Pemuda PAS negeri.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini selepas mengadakan sidang media di Johor Bahru hari ini, Khairul Faizi turut melahirkan rasa terkilan kerana pihak Bernama “langsung tidak memohon maaf atas kesilapan penyiaran maklumat” tersebut.

Malah, tambahnya, agensi berita itu meminta beliau berhubung sendiri dengan Naib Pengerusi DAP negeri itu bagi mendapatkan penjelasan.

Menurutnya lagi, agensi berita itu mendakwa kepadanya bahawa sumber maklumat itu daripada Fernandez sendiri.

Menurut blog ketua Pemuda itu, turut hadir di sidang media tadi, ketua penerangan Pemuda PAS pusat Suhaizan Kaiat, bendahari Pemuda PAS negeri Ruhaizam Abd Hamid dan exco pergerakan itu Za’aba Ibrahim. - Malaysiakini

*************

KENYATAAN PENUH DPP JOHOR

Bernama perlu mohon maaf di atas salah lapor berita/maklumat

DEWAN Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) memulakan sidang media pada hari ini dengan berita bertajuk “Ugut Karpal: Pelajar Kolej Serah Diri” yang disiarkan dilaman web www.malaysiakini.com pada 28 April 2008 pukul 10.37 malam.

Saya telah dimaklumkan bahawa berita berkaitan dengan seorang pelajar kolej telah menyerahkan diri ke balai polis kerana telah membuat mesej ugutan terhadap Pengerusi DAP Kebangsaan, YB Encik Karpal Singh.

Saya amat terkejut dengan berita ini apabila saya dikatakan telah mengiringi pelajar tersebut ke balai polis bersama empat ahli Pemuda PAS Johor sedangkan pada ketika penyerahan diri dilakukan oleh pelajar tersebut pada pukul 1 tengahari, saya sudahpun dalam perjalanan ke Kuala Lumpur daripada Kluang.

Bagi mendapatkan kepastian bagaimana perkara ini boleh terjadi, saya telah menghubungi beberapa exco DPPNJ untuk mengesahkan sama ada terdapat beberapa exco DPPNJ yang telah bersama dengan pelajar tersebut namun saya telah dimaklumkan bahawa tidak ada seorang pun exco DPPNJ yang terlibat.

Saya telah menghantar e-mail kepada pihak pengurusan Malaysiakini (29 April 2008, 12.53 malam) bagi mendapatkan kepastian bagaimana berita ini diperolehi dan disiarkan dalam keadaan saya tidak terlibat langsung seperti mana yang telah disiarkan dalam berita tersebut.

Pada hari yang sama pukul 12.20 tengahari, saya telah dihubungi oleh sdr Fathi Aris Omar, Pengarang berita Malaysiakini Bahasa Melayu memaklumkan bahawa beliau telah menjawab kekeliruan tersebut melalui email kepada saya.

Dalam email tersebut, Malaysiakini telah memaklumkan bahawa sumber maklumat sehingga berita tersebut disiarkan di dalam laman web Malaysiakini telah diperolehi daripada laman web Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang bertajuk “Pelajar Kolej Serah Diri Kepada Polis Berhubung Dakwaan Hasut Bunuh Karpal”. Malaysiakini juga telah menyiarkan berita bertajuk “Pemuda PAS nafi terlibat kes ugut Karpal” pada 29 April 2008 pukul 11.37 pagi (kemaskini 2.34 petang)

Saya telah menghubungi Encik Mohd Fisol Jaafar, Editor Bernama untuk mendapatkan maklumat tentang perkara ini. Beliau telah meminta ruang masa untuk mendapatkan maklumat terlebih dahulu sebelum memberikan penjelasan terhadap isu tersebut.

Encik Mohd Fisol telah menghubungi saya kembali dan memaklumkan bahawa berita tersebut telah dibuat oleh wakil Bernama di Johor dan maklumat tersebut telah diperolehi oleh wartawan Bernama Johor daripada Encik Norman Fernandez, Timbalan Pengerusi parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Johor dan meminta saya menghubungi Encik Norman untuk mendapatkan maklumat selanjutnya.

Sidang media ini diadakan adalah untuk menjelaskan beberapa perkara :-

1. Saya cukup terkilan kerana saya dan DPPNJ telah dikaitkan secara langsung sehinggakan nama saya telah disiarkan tanpa mendapatkan maklumat terus daripada saya oleh wartawan Bernama.

2. Saya cukup terkilan apabila Editor Bernama, Encik Mohd Fisol Jaafar langsung tidak memohon maaf di atas kesilapan penyiaran maklumat tentang penglibatan saya dalam perkara ini, malah meminta saya sendiri berhubung dengan Encik Norman bagi mendapatkan penjelasan.

3. Berita ini bukan sahaja tersebar di dalam internet tetapi juga telah disiarkan dalam media cetak seperti di dalam Berita Harian bertarikh 29 April 2008.

4. Setelah berita ini disiarkan, saya telah mendapat kritikan daripada beberapa pihak terhadap tindakan saya kerana telah mengiringi pelajar tersebut ke balai polis sedangkan perkara tersebut tidak ada kaitannya secara langsung dengan saya dan DPPNJ.

Maka, saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor menuntut beberapa perkara tersebut:-

1. Bernama membuat permohonan maaf secara terbuka kepada saya dan kepimpinan DPPNJ kerana menyiarkan berita mengaitkan saya terlibat mengiringi pelajar kolej tersebut.

2. Bernama perlu menjelaskan secara bertulis bagaimana maklumat tersebut telah diperolehi.

3. Bernama dan media arus perdana perlu memastikan bahawa maklumat dan sumber maklumat tersebut adalah benar kerana ia sudah pasti akan menimbulkan pelbagai persepsi dan reaksi yang buruk sekiranya berita tersebut.

4. Sekiranya permohonan maaf dan penjelasan secara terbuka tidak dilakukan dalam tempoh tujuh hari bermula daripada tarikh sidang media ini diadakan, maka saya dan DPPNJ tidak akan teragak-agak untuk menfailkan saman terhadap Bernama.

Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor.

Share and Enjoy: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Book.mark.hu
  • De.lirio.us
  • e-mail
  • Furl
  • Netvouz
  • Technorati
  • YahooMyWeb
  • blogmarks
  • Live
  • StumbleUpon
  • Webnews.de


2 Responses to “Pemuda PAS Johor desak Bernama mohon maaf”

  1. […] Pemuda PAS Johor desak Bernama mohon maaf […]

  2. http://mengkebang.pas.org.my/

    laman web naib ketua pemuda pas kelantan

    largest malaysian muslim democracy party

Leave a Reply