Umno punca keretakan perpaduan orang Melayu

Written by kelantankini on Apr 14th, 2008 | Filed under: PAS, Pimpinan

14 Apr | 8.35am
PERHIMPUNAN Perpaduan Melayu yang dianjurkan oleh beberapa NGO Melayu di PWTC semalam masih berpaksikan kepada pergantungan politik terhadap Umno sebagai satu-satunya wadah untuk orang Melayu. Sedangkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 lalu ternyata menegaskan bahawa Umno sudah tidak layak lagi menerajui bangsa dan umat Melayu setelah mereka bertindak khianat menghakis dan memupuskan keperibadian dan identiti Melayu selama mereka memegang tonggak kuasa.

Sesungguhnya perpaduan dan survival Melayu sebenar akan dapat dipupuk bukannya melalui perubahan di dalam Umno tetapi melalui perubahan drastik terhadap sikap dan pendirian kerajaan Persekutuan yang masih di dalam tangan parti berkenaan.

Segala bentuk penjajahan minda orang Melayu yang dibelenggu oleh kehadiran peraturan dan perundangan yang dicipta oleh Umno perlulah segera dihapuskan. Akta Universiti dan Koleh Universiti (AUKU) contohnya menyekat kemajuan dan kebebasan berfikir mahasiswa dan pensyarah serta ahli akademik Melayu, inilah yang perlu dihapuskan terlebih dahulu.

Begitu juga media arus perdana, perlu dibebaskan agar orang Melayu dapat berfikir dengan lebih matang dan kritikal. Kerajaan perlu membenarkan wujudnya lebih banyak media yang bersifat ilmiah dan bukannya menjurus kepada hiburan yang menghayalkan semata-mata, yang banyak mencorakkan budaya dan pemikiran bangsa Melayu kini.

Di bidang ekonomi, orang-orang Melayu jauh tercicir dan sering terpinggir apabila amalan-amalan ekonomi digunakan sebagai umpan dan rasuah untuk memperolehi sokongan dan kuasa serta gelanggang amalan rasuah. Pemberian subsidi dan bantuan kerajaan seolah menjadi hak dan percaturan Umno sehingga orang Melayu akhirnya tidak maju sebaliknya lesu dan tertipu.

Perpaduan dan kekuatan Melayu akan terbina jika orang-orang Melayu sentiasa disuntik dengan kesedaran beragama. Penyebaran dan dakwah serta kesedaran Islam perlulah dipulihkan. Selama ini jabatan-jabatan dan institusi agama diperkudakan oleh Umno untuk kepentingan dan kelangsungan politik mereka. Orang-orang Melayu yang tidak menerima kefahaman Islam sebenar akhirnya tidak menguntungkan bangsanya malah menjadi liabiliti kepada ummah.

Oleh itu kiranya semua pihak jujur mahu memperjuangkan agenda Melayu dan Islam, mereka perlu sedar bahawa Umnolah yang selama ini merupakan punca dan masalahnya. Umno ditolak dalam Pilihan Raya Umum lalu kerana umat Melayu mahukan perubahan dan pembaharuan. Kesimpulannya perubahan dan pembaharuan itu hendaklah mengambil kira pandangan kuasa politik Melayu yang baru yang tidak lagi didominasi oleh Umno pada hari ini.

DATO’ SERI TUAN GURU HJ ABD HADI AWANG
Presiden PAS.
13 April, 2008

Share and Enjoy: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Book.mark.hu
  • De.lirio.us
  • e-mail
  • Furl
  • Netvouz
  • Technorati
  • YahooMyWeb
  • blogmarks
  • Live
  • StumbleUpon
  • Webnews.de


2 Responses to “Umno punca keretakan perpaduan orang Melayu”

  1. Assalamualaikum

    Orang Melayu tidak pernah berpecah. Untuk mengatakan bahawa orang Melayu berpecah mestilah didasarkan dengan bukti-bukti yang kukuh.

    Dalam mengamalkan demokrasi berperlembagaan kehadiran parti politik pembangkang adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Jika kehadiran parti politik pembangkang dilihat sebagai suatu yang memecah belahkan perpaduan sesuatu etnik maka dimana-mana negara yang mengamalkan demokrasi pun perkara yang sama boleh berlaku.

    Dalam sistem demokrasi, MESTI ada parti pemerintah dan parti pembangkang. Bagaimana anda boleh katakan bahawa anda mengamalkan demokrasi dan pada masa yang sama anda melihat kehadiran parti politik pembangkang yang mendapat sokongan besar sebagai sesuatu yang memecah belahkan kesatuan dan perpaduan etnik?

    Jika perkara ini dilihat sebagai punca perpecahan etnik maka bukan bangsa melayu sahaja yang boleh dikatakan berpecah malah juga kaum Cina dan India kerana mereka masing-masing juga mempunyai perti-parti pembangkang yang mendapat sokongan yang meluas pada pilihanraya umum yang lepas. Kenapakah ini tidak dilihat sebagai perpecahan dikalangan bangsa mereka?

    inilah kekeliruan NGO-NGO melayu tersebut. Melihat kehadiran parti pembangkang sebagai pemecah perpaduan melayu sedangkan dalam amalan demokrasi, perkara tersebut adalah sesuatu yang lumrah di mana-mana negara pun di dunia ini.

    Apa yang menyedihkah kita, bukanlah berkenaan dengan “perpecahan melayu itu sendiri” tapi kejahilan NGO melayu ini sendiri yang dianggotai oleh ramai “cendikiawan-cendikiawan Melayu” kononya, tapi gagal memahami persoalan-persoalan yang mendasar seperti konsep demokrasi berperlembagaan itu sendiri.

    MESTI diingat bahawa didalam amalan demokrasi, berbeda pandangan politik bukanlah bermakna perpecahan.

    Perpaduan etnik melayu tidak boleh dan sekali-kali jangan diukur dengan kayu ukur politik terutamanya jika kita sendiri rela dengan sistem demokrasi yang kita amalkan.

    Kenapa kita mesti berpecah walaupun kita berbeza pendapat politik? Yang kita perjuangkan adalah menghapuskan salah guna kuasa dikalangan pihak pemerintah. Jika kita tahu yang mereka salah guna kuasa dan kita sokong parti pembangkang yang telah berkurun lamanya menentang perkara seperti ini, adakah itu boleh dikatakan sebagai perpecahan Melayu?

    Saya berpendapat bahawa inilah perpaduan Melayu yang sebenarnya, perpaduan yang kita pilih untuk menghapuskan salah guna kuasa dikalangan parti-parti pemerintah. Dan pada pilihanraya umum yang lepas bukan sahaja orang Melayu yang telah bersatu padu bagi menghapuskan salah guna kuasa di kalangan parti pemerintah, malah juga kaum yang lain seperti Cina dan India juga telah berbuat perkara yang sama. Bukankah ini yang dinamakan Perpaduan Kaum?

    Jika semua etnik-etnik ini tidak bersatu padu mampukah kita menumbangkan BN di 6 negeri?

    Kenapa kita tidak melihat ini sebagai satu titik perpaduan kaum yang murni yang digerakkan oleh “fitrah” kita yang sememangnya telah diciptakan oleh Allah bagi membenci segala rupa penyelewengan tanpa mengira agama dan bangsa?

    Persoalannya bagaimanakah kedudukan “fitrah” ini dikalangan cendikiawan melayu yang menganjurkan forum-forum tersebut? Apakah “fitrah” orang Cina dan India lebih baik dari mereka? Bagaimanakah mereka yang mempunyai status “berilmu” boleh tidak memikirkan perkara ini? Adakah ilmu-ilmu yang telah mereka pelajari justeru telah menutupi “akal” dan “fitrah” mereka?

    Kalau begitu kedudukannya,merekalah yang telah berpecah, berpecah daripada “fitrah” yang asli yang membenci segala bentuk penyelewangan kepada “fitrah” syaitaniah yang gagal membezakan antara perkara-perkara Hak dan Batil. Ini merisaukan memandangkan mereka ini adalah terdiri daripada kononya cendikiawan-cendikiawan melayu yang telah berjaya dan mempunyai akal (atau “terakali”)

    Entah mengapa, saya gagal melihat “akal” atau “kecendiakiawanan” mereka dalam hal ini.

    Kemungkinan sayalah yang bodoh kerana telah tunduk kepada “fitrah” saya untuk sama-sama bersatu dengan lain-lain rakan di dalam barisan pembangkang tanpa mengira bangsa dan agama bagi meruntuhkan segala bentuk penyelewengan yang telah lama berakar dalam sistem demokrasi kita.

    Saya tahu bahawa “fitrah” saya amatlah membenci perkara-perkara yang bersifat penyelewengan dan saya merasa tenang untuk tunduk kepada “fitrah” saya itu, saya rela, biarpun saya akan dianggap sebagai pemecah perpaduan melayu oleh mereka-mereka yang merasa diri mereka pandai, tapi sebenarnya telah gagal meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ini satu bentuk kezaliman terhadap diri dan apabila kekeliruan fikiran yang demikian disebarkan melalui forum-forum besar seperti yang telah dianjurakan, menjadilah ia suatu bentuk pengaaniayaan dan kejahatan.

    Sama-samalah kita berpegang kepada akal yang jernih dan fitrah kita bagi menghadapi kaum yang keliru ini.

  2. […] Umno punca keretakan perpaduan orang Melayu […]

Leave a Reply