Royalti minyak hak Terengganu - PKR
25 Apr | 10.00pm
PARTI KeADILan Rakyat Bahagian Kuala Nerus menyambut baik tindakan Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Ahmad Said menuntut supaya Kerajaan Pusat memulangkan kembali wang royalti minyak. Tuntutan tersebut telah terlalu lama dibuat oleh PAS apabila royalti minyak dimansuhkan setelah PAS berjaya memerintah Terengganu pada tahun 2000.
Walaupun Kementerian Kewangan pada 5 Sept 2000 mengumumkan menggantikan bayaran royalti sebanyak lima peratus kepada kerajaan Terengganu dengan program wang ehsan, namun pengurusan dana tersebut tidak lagi diserahkan kepada kerajaan negeri. Semua projek yang menggunakan dana tersebut disalurkan terus kepada kementerian yang melaksanakannya tanpa merujuk kepada kerajaan negeri.
Tindakan Kementerian Kewangan itu menimbulkan banyak persoalan tentang ketelusan tata urus dana tersebut lebih-lebih lagi apabila YAB Dato’ Ahmad Said mendakwa banyak projek-projek yang gagal memberi impak kepada pembangunan dan kebajikan rakyat negeri Terengganu dan terdapat sesetengah projek yang dilaksanakan dengan kos yang lebih tinggi daripada harga yang sebenar.
Wang royalti minyak adalah hak kerajaan Terengganu seperti yang telah jelas termeterai dalam satu perjanjian di antara kerajaan Negeri Terengganu dan Petronas pada 22 Mac 1975. Justeru itu, tindakan Kerajaan Pusat memansuhkan Perjanjian tersebut tanpa pertimbangan yang wajar, adalah mencabul Perlembagaan Persekutuan (mengenai hubungan Negeri dengan Pusat) serta tidak menghormati perjanjian di antara dua badan yang berwibawa.
Dengan wang royalti minyak tersebut, kerajaan Terengganu mampu melaksanakan program dan projek yang menitikberatkan kepentingan dan kemaslahatan rakyat Terengganu dan secara lansung membasmikan kemiskinan. Didalam situasi harga barang yang semakin meningkat, kerajaan Terengganu amat lah diharapkan dapat menyediakan projek-projek yang mesra rakyat terutamanya dalam bidang pertanian, perikanan dan penternakan.
Di kawasan Parlimen Kuala Nerus, terdapat ramai nelayan-nelayan yang amat memerlukan bantuan dan projek-projek mampan untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka. Juga banyak tanah-tanah pertanian yang terbiar yang berpotensi untuk dibangunkan dengan projek-projek ternakan dan pertanian komersial. Dengan projek-projek cakna rakyat yang efektif, bukan sahaja mampu menyelesaikan masa’alah kemiskinan rakyat Terengganu malahan dapat meningkatkan hasil dalam negeri dan seterusnya mengurangkan pergantungan kepada pengimportan bahan-bahan makanan asas.
Kerajaan Terengganu juga perlu menyediakan lebih banyak prasarana dalam bidang pendidikan dan program-program yang efektif untuk meningkat prestasi para pelajar serta mengembalikan skim biasiswa untuk pelajar-pelajar miskin.
Parti KeADILan Rakyat Bahagian Kuala Nerus berpendapat, dengan pengembalian wang royalti yang bernilai satu bilion itu, yang dicampur pula dengan hasil negeri yang lain, maka Terengganu berpotensi menjadi sebuah negeri yang lebih maju dan dinamik serta berupaya memakmurkan rakyatnya.
Justeru itu, Parti KeADILan Rakyat Bahagian Kuala Nerus menyeru kepada Kerajaan Pusat supaya mempertimbangkan dengan sewajarnya untuk kebaikan rakyat Terengganu dengan memberi kepercayaan kepada Kerajaan Terengganu untuk menentukan projek-projek pembangunan yang lebih penting dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan rakyat.
Wan Bukhari Wan Mohamad
Ketua Bahagian
Parti Keadilan Rakyat Bahagian Kuala Nerus
































Leave a Reply