Wan Azizah kesali notis polis, tak dapat hadir petang ini

Written by kelantankini on Apr 15th, 2008 | Filed under: PKR, Pakatan Rakyat

15 Apr | 11.55am
KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau tidak dapat hadir ke Balai Polis Dang Wangi pada jam 3.00 petang ini berhubung satu notis yang diserah polis kepadanya pagi tadi.

Notis berkenaan menyebut supaya beliau hadir sebagi saksi berhubung satu laporan polis (no report 13144/08) di bawah Seksyen 27/5 Akta Polis 1969.

Notis itu berkaitan Seksyen 149 Kanun Keseksaan dipercayai atas dakwaan perhimpunan yang menyalahi undang-undang, kata Dr Wan Azizah ketika ditemui di rumahnya jam 10.15 pagi tadi.

Beliau memaklumkan bahawa pegawai polis yang menyerahkan notis itu hanya dikenali sebagi ASP Farid dari Balai Polis Dang Wangi, sebagaimana tertera di tanda nama anggota polis berkenaan di unifomnya.

Menurut notis tersebut, penerima perlu hadir ke Balai Polis Dang Wangi pada jam 3.00 petang ini.

Turut serta bersama Wan Azizah ialah Peguamnya, Latheefa Beevi Koya dan Amir Hamzah Arshad selain kaum keluarganya. Bagaimanapun Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak kelihatan dan difahamkan baru sahaja terbang ke Abu Dhabi.

Polis datang ke rumahnya jam 6.30 pagi dan berjaya menyerahkan notis tersebut kira-kira jam 9.20 pagi, kata Wan Azizah.

“Saya tak lari ke mana-mana, saya cakap kepada polis itu, tetapi saya tidak dapat hadir petang ini kerana jadual saya padat hari ini.

“Saya akan meminta peguam saya menulis surat kepada pihak polis, dan saya tak pasti lagi bila boleh ke balai polis,” ujarnya.

Wan Azizah memberitahu selain beliau, turut menerima notis tersebut ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali dan Yahya Saari.

Beliau melahirkan rasa kecewanya dengan pihak polis yang hanya sibuk dengan hal politik termasuk bersungguh-sungguh menyampaikan notis itu kepadanya.

Walhal isu jenayah lain sebenarnya perlu diberi perhatian yang lebih serius seperti kes kehilangan Adik Sharlinie Mohd Nashar dan kes rompakan di KLIA baru-baru ini yang menyaksikan sistem keselamatan KLIA begitu rapuh dan lemah.

“Macam mana dengan kes Sharlinie, saya nak tanya polis itu tadi, tetapi tak berkesempatan, mereka datang hantar notis dan terus berlalu begitu sahaja,” katanya.

Selain itu Wan Azizah turut memberitahu bahawa tiga lagi penerima notis tersebut menyatakan tidak dapat hadir ke Balai Polis Dang Wangi petang ini memandangkan ada urusan lain.

Sementara itu peguamnya, Amir Hamzah berkata, pihaknya akan menulis surat untuk mengetahui status notis tersebut kerana tidak mendapat maklumat lanjut mengenai laporan polis yang dibuat terhadap Wan Azizah. - Harakahdaily

Share and Enjoy: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Book.mark.hu
  • De.lirio.us
  • e-mail
  • Furl
  • Netvouz
  • Technorati
  • YahooMyWeb
  • blogmarks
  • Live
  • StumbleUpon
  • Webnews.de


Leave a Reply