Ong Ka Ting lebih bermaruah dari Pak Lah
Oleh Bkt Pinang
10 Apr | 6.55am
DALAM keghairahan Umno memekik melolong sesama mereka, rakan komponen Barisan Nasional dan pihak lawan memerhati sahaja tingkah laku pemimpin Umno berebut-rebut tulang-tulang yang masih tersisa selepas perang PRU-12 yang lalu.
Dari segi matematiknya Umno tulang belakang Barisan Nasional tidak kalah. Mereka cuma kehilangan beberapa puluh kerusi Parlimen dan beberapa buah negeri sahaja. BN masih menguasai dengan majoriti 2/3 di Perlis, Trengganu, Pahang, Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak.
Mereka juga tidak berupaya mendapat majoriti 2/3 di Negeri Sembilan. Mereka juga bolos 4 negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Dan mereka lumpuh di Kelantan.
Lebih menarik lagi warna-warna perang PRU-12 ialah Presiden Umno buat pertama kali dalam sejarah Malaysia datang dari negeri yang tewas kepada Pakatan Rakyat.
Pulau Pinang sememangnya tidak pernah dikuasai oleh parti tulang belakang BN ini. Ia bermula pada PRU tahun 1969 di mana Gerakan menguasai Pulau Pinang. Ketika itu Gerakan bukan dari parti pemerintah ketika itu, Perikatan.
Cara mudah Perikatan untuk menguasai Pulau Pinang ialah melalui kerjasama dengan Gerakan, apabila Gerakan menyertai Barisan Nasional. Sejak dari itu Umno tidak pernah bersedia untuk mengambil semula kuasa Melayu di Pulau Pinang kononnya atas sikap setiakawan.
Lebih melucukan lagi, BN cuma menang 2 kerusi Parlimen tetapi kesemua wakil rakyat BN Pulau Pinang dilantik menjadi menteri kabinet. Dua wakil itu ialah Abdullah Ahmad (Kepala Batas) menjawat menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri dan Nor Mohamad Yakcob (Tasik Gelugor) menjawat menteri Kewangan II. Dengan lain perkataan 100% dari Pulau Pinang jadi menteri.
Tetapi yang peliknya di Perlis, BN menang semua kawasan Parlimen, tetapi tak seorang pun wakil rakyat BN Perlis dilantik menjadi menteri atau timbalan menteri. Secara matematiknya menteri kabinet dari Perlis ialah 0%.
Jika diteliti dari keputusan PRU-12, negeri Johor adalah penyumbang terbesar wakil rakyat dari kalangan Umno, iaitu 16 orang diikuti Sabah 14. Untuk rekod, Johor dan Sabah tidak seorang pun calon Umno tewas dalam PRU-12 lepas.
Sepatutnya jawatan Perdana Menteri mestilah datang dari kalangan wakil rakyat Johor atau Sabah. Paling tidak pun, berilah jawatan Timbalan Perdana Menteri I kepada wakil Johor dan Timbalan Perdana Menteri II kepada wakil Sabah untuk menampakkan Abdullah berlaku adil kepada rakyat negeri-negeri tersebut yang masih setia bersama BN.
Tidakkah Abdullah nampak bahawa rakyat di negerinya telah menolak Umno dengan memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah. Tidakkah Abdullah merasa malu dengan prestasi negerinya yang begitu merudum.
Jika Abdullah mahu berlaku adil kepada ahli-ahli Umno, berilah jawatan kedua tertinggi kabinet itu kepada wakil dari Johor atau Sabah. Atau pun pilihan terbaik ialah mengikuti jejak presiden MCA Ong Ka Ting yang awal-awal lagi menolak sebarang jawatan dalam kabinet Abdullah.
Ong walaupun seorang Cina mempunyai maruah diri. Sikap Ong ini menunjukkan rasa tanggungjawab kepada partinya dengan tidak melobi jawatan menteri kabinet. Kenapa Abdullah tidak mahu mengambil iktibar mengikut cara Ong?
Ong tidak datang dari keluarga ulamak. Datuk Ong bukan ulamak dan ayah Ong juga bukan anak ulamak. Tetapi Ong ada harga diri dan sikap itu akan menaikkan maruah Ong dan maruah kaum Cina.
Orang-orang Cina akan menyanjungi sikap Ong yang tidak tamak jawatan walaupun beliau sendiri menang di Kulai, mereka akan ketawa melihat telatah orang Melayu yang gilakan kuasa dan jawatan, walau pun tahu negeri yang diwakilinya kalah merudum.
Sikap Abdullah ini juga mengundang satu cemuhan dari bangsa Cina dan India yang melihat gelagat orang Melayu yang tidak tahu menilai maruah diri apabila parti yang diterajuinya tewas teruk dalam PRU-12.
Sikap sebegini juga tidak akan membantu menaikkan semula imej BN khasnya Umno di kalangan parti kerabat komponen BN dan juga rakyat terutama kaum Cina dan India.
Tidakkah Melayu Umno mahu belajar erti maruah dari kaum Cina? Atau pun Abdullah sudah hilang maruah diri? Fikir-fikirkanlah.
































Leave a Reply