Mukhriz sambut baik hasrat Ku Li

Written by kelantankini on Apr 26th, 2008 | Filed under: Umno

26 Apr | 8.20pm
MACHANG: Anggota Exco Pergerakan Pemuda Umno Dato’ Mukhriz Tun Mahathir mengalu-alukan sesiapa sahaja ahli Umno yang berhasrat bertanding jawatan Presiden termasuk bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah pada pemilihan pucuk tertinggi pimpinan parti itu akhir tahun ini.

“Bukan sahaja Tengku Razaleigh boleh bertanding untuk jawatan presiden tetapi juga Timbalan Presiden Umno Dato’ Seri Najib Tun Razak dan naib-naib presiden,” katanya.

Bercakap kepada pemberita pada majlis “Pilihan raya umum Ke-12 Barisan Nasional Hilang Sokongan Pengundi Muda Di Mana Silapnya” sebagai tetamu kehormat, di sini, hari ini Mukhriz berkata mana-mana individu dalam parti yang ingin bertanding mana-mana jawatan sepatutnya tidak perlu disekat.

Tambahnya pertandingan itu mestilah dijalankan dengan syarat tanpa mengamalkan politik wang, berhemah dan tidak memecahbelahkan perpaduan parti.

Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh sudah mengumumkan hasratnya untuk bertanding merebut jawatan Presiden Umno dan mengulanginya lagi pada program di Balai Islam, Kota Bharu malam tadi.

Mukhriz berkata kesediaan mereka tidak perlu dihalang dan patut diberi peluang untuk membolehkan anggota perwakilan Umno memilih calon yang benar-benar layak bagi memulihkan kekuatan Umno yang tercalar berikutan kekalahan teruk pada Pilihan Raya Ke-12 pada 8 Mac lepas.

Beliau sebelum ini mengisytiharkan akan bertanding bagi mengisi jawatan Ketua Pergerakan itu yang akan dikosongkan oleh Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sementara itu di KOTA KINABALU, Dato’ Seri Rafidah Aziz dipetik sebagai berkata peralihan kuasa dalam kerajaan perlu diputuskan berdasarkan persetujuan antara Perdana Menteri dan Timbalannya.

“Jika ada peralihan kuasa bagi jawatan Perdana Menteri, biarlah (pemimpin negara) nombor satu dan nombor dua memutuskan mengenai cara serta masanya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Wanita Umno Sabah di sini.

Rafidah diminta mengulas mengenai peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata proses penyerahan kuasa antara kedua-dua pmimpin perlu dijalankan secara teratur dan sesuai.

Bagaimanapun, katanya peralihan itu juga boleh dilakukan melalui proses pemilihan dalam parti.

“Jika kita tidak boleh tunggu sehingga pemilihan Umno pada Disember, ini bermakna demokrasi sedang berjalan,” kata Ketua Pergerakan Wanita Umno itu.

Rafidah berkata beliau kurang senang dengan tindakan sesetengah pihak yang meminta Abdullah supaya mempercepatkan proses peralihan itu, sambil berkata ia memberikan konotasi bahawa permintaan itu lebih kepada perebutan kuasa.

“Penyerahan kuasa mesti berlaku dengan teratur. Bagaimanapun perebutan kuasa terjadi apabila anda memaksa seseorang untuk berusaha berhabis-habisan bagi mendapatkannya,” katanya.

Share and Enjoy: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Book.mark.hu
  • De.lirio.us
  • e-mail
  • Furl
  • Netvouz
  • Technorati
  • YahooMyWeb
  • blogmarks
  • Live
  • StumbleUpon
  • Webnews.de


Leave a Reply