Rafidah kesal sikap ghairah bekas Puteri Umno

Written by kelantankini on May 25th, 2008 | Filed under: Umno

ALOR STAR, 25 Mei: Ketua Pergerakan Wanita Umno, Dato’ Seri Rafidah Aziz menyalahkan sikap segelintir bekas anggota Puteri yang baru menyertai Pergerakan berkenaan bertanding merebut jawatan sebagai salah satu punca sayap parti itu menjadi lemah.

Beliau berkata tindakan bertanding jawatan tertinggi dalam Pergerakan Wanita Umno boleh mengakibatkan perpecahan di kalangan anggota sekaligus melemahkan parti.

Kata Rafidah, sepatutnya mereka bertanding untuk jawatan yang lebih kecil seperti ahli jawatankuasa, sekurang-kurangnya Wanita Umno boleh mendapat input yang baik daripada anak-anak muda dan membantu pergerakan mendekati anggota muda yang lain.

“Jangan terlalu ghairah nak bertanding kerana bila dua tiga orang bertanding, akan wujud dua tiga puak dalam pergerakan, ini boleh mendatangkan masalah.

“Saya ingin berpesan apabila masuk sahaja dalam Wanita Umno, janganlah terlalu cepat (hendak) bertanding untuk jawatan tertinggi.

“Wanita adalah tulang belakang parti dan sekiranya ada masalah padanya (Wanita) maka seluruh parti akan menerima kesannya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup bersama ketua-ketua Bahagian Wanita Umno Kedah di Ampang Jajar, di sini semalam.

Sebelum ini bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu menyelar anggota Umno yang bersikap hipokrit sehingga menyebabkan parti itu berterusan dilanda pelbagai kemelut.

Kata Rafidah, sikap ‘yes boss’ anggota parti yang mengiakan setiap keputusan dan kata-kata pemimpin walaupun mereka sebenarnya tidak bersependapat, menyumbang kepada masalah yang bertimpa-timpa dihadapi parti ketika ini.

Dengan sikap sebegitu, katanya, tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya Perdana Menteri dan Presiden Umno Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi kekalahan besar Umno pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

“Tidak patutlah kalau nak salahkan presiden semata-mata sehingga suruh dia letak jawatan. Ahli Umno ni ramai yang hipokrit, sebab itulah nakhoda tidak tahu mana nak pergi, dia ingat semua nak pergi satu tempat kerana di depan mereka kata ya, tak pernah ditegur, tapi belakang pula kata lain.

“Bila timbul masalah, suruh tukar nakhoda. Tak bolehlah setiap kali kapal nak karam, kita angkat nakhoda buang ke laut,” katanya pada majlis perjumpaan dengan Wanita Umno Kelantan di Kota Bharu Jumaat lepas.

Share and Enjoy: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • Book.mark.hu
  • De.lirio.us
  • e-mail
  • Furl
  • Netvouz
  • Technorati
  • YahooMyWeb
  • blogmarks
  • Live
  • StumbleUpon
  • Webnews.de


Leave a Reply