Kelantan
- August 12, 2008
Ar-Rahn: PKB harap pelanggan tidak panik
KOTA BHARU: Permodalan Kelantan Berhad (PKB) meminta pelanggannya yang menyimpan barang kemas di kedai Pajak Gadai Ar-Rahn agar tidak panik kerana segala kerugian dialami pemilik terbabit akan ditanggung agensi itu.
Pengarah Eksekutif PKB, Wan Yahya Wan Salleh berkata, pihaknya sudah membuat keputusan akan membayar semula kerugian yang dialami pelanggan mengikut jumlah nilai gadaian masing-masing.
Bagaimanapun kata beliau, pelanggan perlu bersabar dan memberikan tempoh masa sekurang-kurangnya dua minggu bagi agensi itu memeriksa segala data dan maklumat mengenainya.
“Sebagai contoh, jika seseorang itu menggadai barang kemas dinilai RM1,000 dan mereka sudah menerima RM500, kami akan membayar sebanyak RM500 lagi,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Pengerusi PKB, Zakaria Yaakob dan Pengurus Besar PKB, Sabri Abdullah turut sama pada sidang media berkenaan.
Para pelanggan yang ingin membuat pertanyaan boleh berurusan di Ar-Rahn cawangan Wakaf Che Yeh dan cawangan Kota Bharu 2 dengan membawa surat gadaian masing-masing.
Mengenai tindakan perompak yang menyusup masuk menerusi lubang angin yang ditebuk, Wan Yahya berkata pihaknya tidak menjangka kejadian itu boleh berlaku kerana tahap keselamatan berada pada tahap terbaik.
Tambah beliau, PKB sudah menyediakan sistem keselamatan terbaik tetapi penjenayah berkenaan ternyata lebih pintar.
“Kami tidak menjangka kejadian ini boleh berlaku kerana tahap keselamatan berada pada tahap tinggi dan baik,” jelasnya.
















untuk menempah iklan di web ini.






