Kelantan
- August 10, 2008
MB: Hanya kerana surat layang BPR terus siasat
KOTA BHARU: Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sedia bekerjasama dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi menyiasat pelantikan menantunya sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Bagaimanapun Mursyidul Am PAS itu melahir rasa hairan bagaimana BPR begitu cepat bertindak hanya kerana adanya surat layang, sedangkan banyak laporan salah guna kuasa membabitkan menteri dan pemimpin Umno hanya disenyapkan.
“Sebelum ini kita mendengar banyak surat layang berkaitan penyelewengan dilakukan menteri-menteri tidak pula disiasat bahkan mungkin tidak dipedulikan pihak berkenaan.
“Acap kali kita mendengar menteri yang terbabit rasuah seperti pernah disiarkan akhbar, tiada siapa yang peduli pun, tetapi kalau membabitkan pemimpin kerajaan negeri (Kelantan) BPR mari dan terus siasat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Rangkaian Usahawan Muslim Antarabangsa di sini semalam.
Baru-baru ini ada pihak mengedarkan surat layang mengenai pelantikan menantu Menteri Besar Kelantan, Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman sebagai COO PMBK dan ia terus disiasat BPR.
Menteri Besar berkata, pelantikan Ariffahmi sebagai COO PMBK, dibuat berdasar kepada kelayakan yang dimiliki menantunya itu dan bukan disebabkan hubungan kekeluargaan atau unsur ‘kronisme’.
Beliau berkata, Ariffahmi Abdul Rahman yang berpendidikan tinggi dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan dipercayai mampu menjalankan tanggungjawab itu setelah CEO sebelum ini meletak jawatan.
“Saya lantik dia bukan atas dasar dia tu menantu saya, tetapi atas dasar orang pandai dan berkelayakan. Oleh yang demikian saya pilih orang yang berkelayakkan, kebetulannya PMBK ni di bawah saya,” katanya.
Jumaat lalu media melaporkan mengenai beberapa pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) memasuki premis PMBK di Kota Bharu untuk meneliti beberapa dokumen berhubung beberapa isu yang berbangkit termasuk salah guna kuasa.
Nik Aziz sebelum ini berkata beliau sedia disiasat oleh BPR sekiranya wujud unsur-unsur salah guna kuasa dalam pelantikan menantunya itu.
Menurutnya sebelum ini jawatan terbabit dipegang Fadhilat Ismail yang meletak jawatan sebelum diganti Ariffahmi, di mana kebetulan menantunya seorang kelulusan dalam bidang kejuteraan.
Malah kata beliau perkara itu pun sudah dijelaskan ketika persidangan Dewan Undangan Negeri penggal lalu yang sering ditimbulkan bekas ketua pembangkang, Tan Sri Annuar Musa.
Ariffahmi sebelum ini Ketua Sektor Hartanah di PMBK mulai Jun 2006. Sebelum itu pada November 2004 Pengurus Projek Bandar Baru Tunjung sebelum dilantik ke jawatan sekarang mulai 1 Febuari lalu.
Sebelum itu beliau bertugas jurutera di Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd. Berkelulusan ijazah sarjana muda kejuteraan awam dan sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (MBA).
Menurut Nik Aziz tiada sebarang masalah untuk melantik orang terdekat dalam keluarga sekiranya mereka benar-benar berkelayakan.
“Semua khalifah empat selepas Rasulullah saw merupakan keluarga terdekat baginda yang terdiri dari menantu dan mentua yang dilantik atas dasar kelayakan,” ujarnya.
















untuk menempah iklan di web ini.







1 Trackback(s)