MB tegur paluan kuat dalam dikir barat

JELI: Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menegur penggiat dikir barat yang terlalu mementingkan paluan peralatan muzik digunakan berbanding isi yang disampaikan.

Keadaan itu katanya, akan memesongkan hadirin dengan mendengar paluan rebana yang lebih nyaring, daripada mendengar nasihat berunsur dakwah yang disampaikan oleh pendikir.

Sehubungan itu beliau menasihatkan paluan peralatan muzik dalam dikir barat dapat dikurangkan supaya unsur-unsur dakwah dan nasihat yang disampaikan memberi faedah kepada masyarakat.

“Jangan terlalu kuat (paluan) sehingga kita tidak mendapat sesuatu pun daripada apa yang dinyanyikan.

“Saya bukan kata tidak boleh tetapi sekadar mengurangkan sedikit bunyinya,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Masjid al-Khairiyah Kampung Belahat di sini, kelmarin.

Hadir sama pada majlis itu penyelia Parlimen Jeli, Haji Apandi Mohamad dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Lanas, Ustaz Abdullah Yaakub.

Dalam ucapannya juga, Tuan Guru Nik Aziz turut mengingatkan masyarakat agar sentiasa memelihara solat lima waktu walau di mana sahaja berada.

Ini kerana katanya, solat boleh dilakukan di mana sahaja di bumi Allah sebaik sahaja masuk waktunya.

“Mereka yang tidak menunaikan solat diumpamakan seperti ‘menatang’ (binatang) kerana manusia mempunyai akal jika dibandingkan dengan haiwan.

“Tidak kira di mana sahaja, di sawah atau ladang, masuk sahaja waktunya tunaikanlah solat,” katanya.

Begitupun beliau menasihatkan umat Islam agar mendirikan solat di masjid kerana ia merupakan rumah Allah yang perlu dimakmurkan.

“Masjid perlu dihormati dengan memenuhkannya, kerana inilah rumah Allah dan kita sebagai umatnya perlu meningkatkan ketaqwaan kepadanya.

Tuan Guru Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS turut menyeru masyarakat supaya sentiasa menderma untuk pembinaan masjid kerana ia bakal memberi manfaat yang sangat besar di akhirat nanti.

“Tangan yang menderma akan menceritakan segala kebaikan mahu pun keburukan yang dilakukan dan mulut pula (pada hari akhirat) terkunci rapat,” tambah beliau lagi.

Bookmark artikel ini: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • blogmarks
  • co.mments
  • e-mail
  • Internetmedia
  • Live
  • MyShare
  • Technorati
  • Webnews.de
  • YahooMyWeb

Post a Comment