Kelantan
- August 11, 2008
PKB bayar ganti rugi pemilik barang kemas
KOTA BHARU: Permodalan Kelantan Berhad (PKB), agensi kerajaan negeri yang mengendalikan pajak gadai Islam Ar-Rahn Satu, akan menampung semua kerugian yang dialami pelanggannya berikutan kecurian di pajak gadai itu, kelmarin.
Pengarah Eksekutif PKB, Wan Yahya Wan Salleh, berkata pembayaran dibuat setelah senarai nama pemajak dapat diperoleh melalui sistem komputer yang kini tertangguh akibat kejadian itu.
“Wang baki dari jumlah nilai yang digadai akan dipulang kepada semua pelanggan selepas dua minggu setelah senarai nama mereka dapat dikeluarkan dari komputer,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Wan Yahya berkata jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan.
Beliau berkata semua urusan gadaian boleh dilakukan di Ar-Rahn Dua dan Ar-Rahn Wakaf Che Yeh, di sini.
Menteri Besar, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninjau premis itu, berkata beliau mendapati rompakan itu dilakukan oleh penjenayah profesional.
Dalam kejadian semalam, perompak yang dianggarkan empat orang berjaya melarikan pelbagai barangan kemas yang disimpan dalam 238 peti simpanan barangan kemas bernilai kira-kira RM18 juta.
Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, penjenayah terbabit memecah masuk premis berkenaan dengan memanjat bumbung bangunan tiga tingkat itu, menyusup masuk melalui lubang laluan angin yang ditebuk sebelum melarikan barangan kemas berkenaan yang disimpan dalam bilik kebal di tingkat satu bangunan itu.
Bagaimanapun, mereka tidak sempat melarikan wang tunai RM390,000 apabila gagal membuka peti simpanan wang tunai dalam bangunan sama.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi, berkata kejadian itu hanya disedari syarikat kawalan keselamatan di Kuala Lumpur apabila mendapati sistem penggera premis berkenaan tidak berfungsi jam 3 pagi sebelum melaporkan kejadian itu kepada pengurus kedai pajak gadai berkenaan dan polis untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, siasatan awal mendapati penjenayah terbabit mula memasuki premis berkenaan pada jam 12.09 tengah malam berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan sebelum memotong wayar CCTV itu sebaik menceroboh masuk dan melarikan simpanan barangan kemas berkenaan.
Katanya, siasatan awal juga mendapati kumpulan penjenayah itu dipercayai profesional kerana melakukan perbuatan itu dengan teliti dan terancang dan kes berkenaan dikesan pertama kali berlaku di negeri ini.
“Berdasarkan rakaman CCTV itu, kami dapat mengesan empat penjenayah terbabit sudah lebih awal menceroboh masuk dalam premis berkenaan.
“Keseluruhan barang kemas dilarikan bernilai kira-kira RM18 juta dan kami menjalankan siasatan rapi berkaitan kes rompakan itu termasuk sama ada membabitkan orang dalam syarikat berkenaan,” katanya.
















untuk menempah iklan di web ini.






