Kelantan
- August 13, 2008
Polis kenal pasti perompak kedai Ar-Rahn
KOTA BHARU: Polis Kelantan mengesahkan kerugian sebenar pajak gadai Islam Ar-Rahn adalah berjumlah RM19,998,211 selepas dilarikan empat penjenayah dalam kejadian awal pagi Sabtu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Dato’ Abdul Rahim Hanafi bagaimanapun berkata, dalam kejadian pukul 12.09 pagi itu, jumlah barang kemas yang bernilai RM8 juta serta wang tunai berjumlah RM390,000 tidak dilarikan.
“Polis kini telah melancarkan gerakan memburu suspek yang terlibat selepas menerima laporan daripada kakitangan pajak gadai berkenaan kira-kira pukul 3 pagi Ahad lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan dengan bersembunyi.
Difahamkan, pihak polis sudah mengenal pasti suspek yang disyaki terlibat dan akan membuat tangkapan untuk membantu siasatan.
Dalam kejadian itu, empat lelaki bertopeng telah melarikan pelbagai jenis barang kemas selepas dikatakan menceroboh premis berkenaan menerusi bumbung.
Mereka kemudian bertindak menebuk lubang terus ke bilik kebal sebelum mengambil emas yang disimpan di dalam lebih 200 peti besi simpanan emas di kedai terbabit.
Susulan kejadian berkenaan pihak PKB telah pun memberi jaminan akan menanggung semua kerugian dialami pemilik masing-masing dan membayarnya setelah semua maklumat dikumpulkan.
Ar Rahn yang merupakan anak syarikat kepada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sehingga kini mempunyai 12 cawangan kedai gadaian Islam.
Ar Rahn yang mula ditubuhkan pada 1992 juga membuka cawangan pertama di luar Kelantan iaitu di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, 25 Jun lalu.
Penubuhan Ar Rahn sebagai alternatif dan tanggungjawab fardu kifayah untuk menyelamatkan umat Islam terperangkap dalam kredit konvensional yang terlibat dengan riba.
















untuk menempah iklan di web ini.






