Blogger Penarik Beca ditahan kerana logo

KUALA LUMPUR: Penulis blog Abu Bakar Rashid ditahan dan disiasat bawah Akta Hasutan, kerana polis memberi alasan artikel ditulis beliau di lamannya ‘Penarik Beca mempunyai unsur menghasut orang ramai membenci pasukan keselamatan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata tindakan meletakkan gambar anjing pada logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laman blog ‘Penarik Beca‘ adalah satu percubaan untuk menghasut orang ramai membenci polis.

Polis menahan penulis blog tersebut, Abu Bakar Mohd Rashid, 50, Selasa lalu.

Bercakap kepada pemberita di ibu negara hari ini, Musa berkata polis yang memandang serius cubaan itu akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba mencemar imej dan kredibiliti pasukan itu.

Penulis blog “Penarik Beca” itu ditahan di rumahnya pada pukul 10 malam Selasa lepas di Taman Koperasi Polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, menurut laporan Bernama.

Penulis itu, yang juga dikenali Bakar Haq, kemudian dibawa dan disiasat di ibu pejabat polis bahagian jenayah perdagangan, Kuala Lumpur.

Abu Bakar yang ditahan reman semalam, dibebaskan petang ini.

Musa juga ditanya mengenai dua dakwaan kes penyelewengan dalam PDRM yang kini disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Musa berkata ia adalah satu proses biasa bagi mencari kebenaran.

Beliau berkata kadang-kadang aduan yang dilakukan itu berbentuk tohmahan.

Bagaimanapun, katanya, sebagai sebuah organisasi yang berperanan sebagai penguatkuasa undang-undang dan menjaga keamanan, setiap aduan itu perlu disiasat bagi mencari kebenarannya.

“Biasalah, ada yang tak suka polis ni buat tohmahan macam-macam, ada tohmahan yang betul dan ada yang tak betul. Kalau betul akan dibawa ke mahkamah,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Malaysiakini melaporkan, Abu Bakar memohon maaf kepada pasukan polis kerana menyiarkan logo berkenaan.

“Saya memohon maaf mana-mana yang tersinggung kepada semua (anggota) polis. Tetapi tulisan dalam artikel itu saya pertahankan,” katanya.

“Saya rasa saya tidak patutlah meletakkan lambang itu.”

Bookmark artikel ini: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • blogmarks
  • co.mments
  • e-mail
  • Internetmedia
  • Live
  • MyShare
  • Technorati
  • Webnews.de
  • YahooMyWeb

Post a Comment