Nasional
- August 13, 2008
Bos HPA terima ‘Anugerah Perdana Menteri’
SERDANG: Pengarah Urusan HPA Industries, Ismail Ahmad menerima Anugerah Perdana Menteri 2008, anugerah sulung yang diwujudkan bagi mengiktiraf kejayaan usahawan dalam bidang berasaskan pertanian sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2008 yang disampaikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam.
Beliau yang mengusahakan produk makanan kesihatan berkenaan menerusi syarikat HPA Industries Sdn Bhd turut menerima anugerah Pemasar Tani Jaya Kebangsaan 2008 dan terbabit dalam perusahaan perladangan serta penternakan.
“Selama lebih 20 tahun membabitkan diri dalam bidang ini, akhirnya membuahkan hasil dan kini mampu mengaut keuntungan sehingga RM2.1 juta setahun bergantung kepada permintaan pasaran,” kata Ismail ketika ditemui selepas menerima anugerah itu di sini, semalam.
Tambahnya, pengiktirafan berkenaan akan dijadikan motivasi dalam mengembangkan perniagaannya, terutama bagi meluaskan pasaran import.
Ismail antara 18 penerima anugerah daripada Perdana Menteri di majlis perasmian serentak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2008 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps).
HPA Industries yang beroperasi di Arau, Perlis memasarkan produk makanan kesihatan, kosmetik dan barangan keperluan harian, selain mengusahakan tanaman pegaga, roselle dan mangga.
Dengan nilai jualan RM63 juta pada tahun lalu, HPA Industries menarik 400,000 keanggotaan dan 21,000 usahawan melalui pemasaran pelbagai peringkat (MLM).
Syarikat berkenaan juga mempunyai 63 rangkaian pemasaran di seluruh negara dan lima di luar negara.
















untuk menempah iklan di web ini.







1 Trackback(s)