Nasional
- August 9, 2008
Forum ‘memeluk Islam’ akhirnya dihentikan
KUALA LUMPUR: Forum awam memeluk Islam anjuran Majlis Peguam pagi ini akhirnya dihentikan ekoran bantahan umat Islam yang berhimpun di luar bangunan ibu pejabat majlis tersebut.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Nordin memberitahu mereka yang berhimpun, bahawa beliau telah masuk ke dalam dan berjaya menghentikan forum tanpa unsur politik.
“Saya naik sendiri dan melihat forum telah dibubarkan dan saya memberitahu (mereka), tidak mahu lagi forum seperti ini diadakan.
“Kita mahu tindakan yang lebih keras diambil pada masa-masa depan. Kita memberi jaminan mereka boleh beredar dari bangunan ini,” menurut laporan Malaysiakini yang memetik kenyataan Zulkifli.
Seramai 500 orang berkumpul di depan bangunan Majlis Peguam sejak awal pagi kerana membantah penganjuran forum awam memeluk Islam anjuran majlis tersebut.
Mereka melaungkan “Hancur Bar Council”, “Hidup Islam” dan “Batalkan Forum”.
Mereka turut membawa sepanduk yang berbunyi “Jangan cabar Islam’, “Jangan cetuskan kemarahan umat Islam demi keharmonian umat Islam” dan “Menjunjung keadilan, menyanggah kezaliman”.
Sementara itu wartawan mStar Online melaporkan ada pertengkaran dan suasana tegang antara wakil beberapa NGO dan penganjur semasa perundingan diadakan untuk mengakhiri forum berkenaan.
Pasukan FRU kelihatan diletakkan di luar bangunan Majlis Peguam untuk menghalang mana-mana pihak memasuki premis tempat berlangsungnya forum kontroversi itu.
Mereka yang membantah forum itu turut merempuh bangunan Majlis Peguam ketika beberapa wakil NGO dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi mengadakan perundingan dengan penganjur meminta forum dihentikan pada pukul 10 pagi.
Forum dimulakan kira-kira pukul 9 pagi di bangunan Majlis Peguam yang terletak di Jalan Tun Perak di sini.
“Kira-kira pukul 9.30 pagi, Ketua Polis Daerah Dang Wangi memasuki pejabat Majlis Peguam untuk berunding meminta forum itu dihentikan demi faktor keselamatan.
“Beliau disertai wakil NGO. Difahamkan pihak polis mahu forum ditamatkan pada pukul 10 pagi,” menurut laporan berkenaan.
Terdahulu kira-kira pukul 7.50 pagi, Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, pihaknya akan meneruskan forum berkenaan.
“Ini hak kami dan kami mengalu-alukan sesiapa untuk menyertai forum,” kata beliau kepada pemberita.
Kumpulan yang membantah forum berkenaan, bertambah hingga kira-kira 500 orang menjelang pukul 9.30 pagi.
Demonstrasi diiringi laungan “hentikan forum” disertai ahli dan penyokong 29 pertubuhan bukan kerajaan. Antaranya ialah Perkim, Persatuan Pengguna Islam, Pekida dan Kelab Umno Luar Negara.
Pemimpin PAS juga menyertai perhimpunan bantahan itu.
Dalam pada itu Naib Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berkata objektif Majlis Peguam ialah untuk menyelesaikan isu mengenai konflik undang-undang yang dihadapi keluarga yang terperangkap antara pemisahan bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah Syariah.
Panel penceramah terdiri daripada Pengarah Pusat Syariah Undang-Undang dan Sains Politik/Fellow Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Dr Wan Azhar Wan Ahmad dan tiga pengamal undang-undang, Ravi Nekoo, K. Shanmuga dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla.
Seorang penceramah telah menarik diri iaitu Pendakwa Syarie, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang juga bekas Hakim Syarie, Dr Haji Naim Haji Mokhtar.
















untuk menempah iklan di web ini.







2 Responses to “Forum ‘memeluk Islam’ akhirnya dihentikan”
Rilek aa…
Cakap2 aje…
Bukan berperang pun…
Xsangka pulak Islam boleh digugat dengan cakap2…
Nampak sangat orang Islam sendiri xyakin dengan Islam…
By efenem on Aug 10, 2008