Kes liwat: Anwar mengaku tidak bersalah

KUALA LUMPUR: Penasihat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan.

Bakal calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh itu dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang lazimnya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Begitu pun hakim, S M Komathy Suppiah membuat keputusan membebaskan Anwar dengan jaminan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin.

Ketika mebenarkan ikat jamin itu, Hakim S M Komathy berkata undang-undang menetapkan bahawa seseorang itu dianggap tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya dan bahawa ikat jamin dikenakan bagi menentukan kehadiran orang itu.

“Saya tidak fikir Anwar akan menghilangkan diri. Jadi, saya akan membenarkan anda dibebaskan dengan bon peribadi RM20,000 tanpa penjamin,” katanya.

Terdahulu, Peguamcara Negara Datuk Idrus Harun yang mengetuai pasukan pendakwaan, tidak membantah jika mahkamah membenarkan ikat jamin tetapi meminta jumlah ikat jamin ditetapkan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa Anwar diserahkan kepada mahkamah.

Beliau berkata pertuduhan yang dihadapi oleh Anwar adalah serius dan tidak boleh diikat jamin, tetapi mengikut undang-undang, mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan ikat jamin.

Sulaiman Abdullah, yang mengetuai sekumpulan peguam Anwar, memohon hakim menggunakan budi bicaranya mengikut Seksyen 388 (2) Kanun Acara Jenayah untuk membebaskan anak guamnya itu dengan bon peribadi tanpa mengenakan jumlah yang ditetapkan.

Beliau juga berkata Anwar akan bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh dan ada kemudian beliau dipilih.

“Dengan perkhidmatannya yang lama kepada negara dan kedudukannya dalam masyarakat serta kerjasama yang beliau berikan kepada polis dan pihak berkuasa semasa siasatan dakwaan liwat ini, Anwar tidak mungkin menghilangkan diri,” kata Sulaiman.

Beliau juga berkata Anwar sedia menyerahkan pasportnya kepada mahkamah tetapi akan memohon mendapatkannya buat sementara jika beliau perlu pergi ke luar negara.

Sebelum membuat keputusannya mengenai ikat jamin, Komathy bertanyakan kepada DSP Jude Pereira, Ketua Siasatan Jenayah Brickfields, sama ada Anwar telah memberikan kerjasama penuh kepada polis semasa siasatan, dan dijawab : “Ya.”

Anwar yang berusia 61 tahun Ahad ini dan bakal bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini, dituduh meliwat Mohamad Saiful, 23, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lepas di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini.

Beliau dituduh melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan terhadap Mohamad Saiful.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu, Anwar menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.

Bookmark artikel ini: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • blogmarks
  • co.mments
  • e-mail
  • Internetmedia
  • Live
  • MyShare
  • Technorati
  • Webnews.de
  • YahooMyWeb
  1. 1 Trackback(s)

  2. Aug 7, 2008: Kelantankini - Berita Kelantan - Isu Politik Semasa - Terkini

Post a Comment