Nasional
- August 7, 2008
Liwat: Episod 1998 berulang, Anwar dituduh lagi
KUALA LUMPUR: Tuduhan kes liwat yang dikenakan ke atas Penasihat PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim hari ini merupakan kali kedua seumpamanya selepas pendakwaan pertama pada 1998 apabila bekas Timbalan Perdana Menteri itu dituduh atas kes serupa membabitkan bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar.
Pada waktu itu Anwar juga dikaitkan dalam kes liwat melibatkan adik angkat beliau, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dan penulis ucapannya, Dr Munawar Anees.
Anwar dipenjarakan ekoran dakwaan itu. Bagaimanapun, pada 2 September 2004, Anwar telah dibebaskan apabila Mahkamah Persekutuan menolak pensabitan tuduhan liwat terhadapnya.
Dalam kes terbaru ini, Anwar didakwa meliwat Mohd Saiful, 23, di sebuah kondominium di Damansara di sini, dengan kali terakhir dua hari sebelum mangsa membuat laporan polis di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 5.45 petang 28 Jun lalu.
Anwar yang diklasifikasikan sebagai suspek dalam kes itu dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, Anwar boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan.
Sejak beberapa hari lalu, khabar angin tersebar meluas mengatakan Anwar akan ditangkap oleh polis pada bila-bila masa untuk tujuan pendakwaan.
Bagaimanapun, mengikut Perlembagaan Persekutuan, seseorang yang telah dibebaskan dengan jaminan polis tidak boleh ditangkap kali kedua untuk kesalahan yang sama.
Sebaliknya, sekiranya suspek mahu didakwa, polis boleh menyerahkan sapina kepadanya untuk hadir ke mahkamah. Jika suspek ingkar atau enggan hadir, permohonan waran tangkap boleh dikemukakan kepada mahkamah.
Anwar yang bercadang bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh hujung bulan ini ditahan pada 16 Julai lalu untuk disoal siasat berhubung dakwaan liwat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sebelum dibebaskan dengan jaminan polis keesokan harinya.


















untuk menempah iklan di web ini.






