Mahathir, Sanusi Junid keluar Umno

ALOR STAR, 19 Mei: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid membuat pengumuman keluar dari parti itu tengah hari ini.

Menurut laporan The Star, Mahathir membuat pengumuman keluar dari parti yang diterajuinya selama 22 tahun kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Pengumuman mengejut itu dibuat di hadapan kira-kira 1,000 hadirin (majoritinya ahli Umno) pada satu majlis bertajuk “Nasib Kedudukan Bangsa Melayu” di sebuah hotel di sini.

Dr Mahathir yang merupakan anggota seumur hidup Umno mengumumkan keluar dari parti itu kerana hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam pada itu, Mahathir turut dilaporkan menggesa kesemua pemimpin dan anggota parti itu bersama-sama beliau keluar dari Umno.

Bagaimanapun menurut laporan berkenaan tindakan keluar parti itu tidak muktamad kerana Mahathir kemungkinan akan kembali ke pangkuan Umno jika parti itu tidak lagi diterajui Abdullah.

Mahathir yang menerajui Umno selama 22 tahun sejak 1981 juga meminta mereka yang bersamanya agar tidak menyertai parti lain.

“Tunggulah hingga Abdullah letak jawatan sebagai perdana menteri dan presiden parti, dan kita boleh kembali semula kepada Umno,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan bekas Menteri Pertanian dan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid dilaporkan turut mengikut jejak langkah bekas bosnya itu.

“Saya akan buat kenyataan lengkap saya sendiri nanti. Buat masa ini, cukuplah kalau saya katakan saya juga sudah keluar Umno,” katanya.

Sanusi yang merupakan antara pengikut setia Dr Mahathir dan bekas setiausaha agung Umno ketika krisis parti 1988 enggan memberikan ulasan lanjut.

Sementara itu Ahli Parlimen Pasir Mas, Dato’ Ibrahim Ali ketika mengulas mengenai pengumuman Mahathir berkata, perkembangan berkenaan sebagai kemuncak kepada krisis dalam Umno yang berlaku ketika ini.

Beliau membayangkan sekiranya perkara ini berterusan ia menandakan Umno akan berkubur.

“Saya merasakan Umno akan berkubur kalau krisis dalaman Umno ini berterusan!”, ujar Ibrahim yang dihubungi blogger, Mohd Sayuti Omar.

Menurut Ibrahim nasib dan masa depan parti itu bergantung kepada kepimpinan Umno hari ini.

Bookmark artikel ini: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • blogmarks
  • co.mments
  • e-mail
  • Internetmedia
  • Live
  • MyShare
  • Technorati
  • Webnews.de
  • YahooMyWeb
  1. 2 Responses to “Mahathir, Sanusi Junid keluar Umno”

  2. Apakah ini kemuncak pertembungan dua pihak bertelagah dalam Umno.. Senario yang agak menarik untuk disaksikan

    By no-mahathir on May 19, 2008

  1. 1 Trackback(s)

  2. May 19, 2008: Kelantankini - Berita Kelantan - Isu Politik Semasa - Terkini

Post a Comment