Nasional
- August 10, 2008
Mahathir: Sukar bagi BN rampas Permatang Pauh
KUALA TERENGGANU: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh memandangkan kawasan itu adalah kubu kuat Penasihat PKR itu.
Selain itu kata Mahathir, BN juga sudah hilang kredibilitinya setelah gagal menawan kawasan berkenaan pada beberapa pilihan raya umum lepas.
Katanya, Apa yang menarik pada pilihan raya kecil Permatang Pauh, 26 Ogos nanti ialah margin kemenangan yang bakal diraih Anwar.
“Ketika ini, saya tidak nampak sesiapa (calon), tentunya dari BN. Anwar akan menang. (Tapi) apa yang menarik ialah margin.
Sama ada (undi) lebih besar dan lebih kecil dari apa yang beliau (Anwar) dapat pada masa lelpas,” katanya dipetik Bernama selepas menyampaikan syarahan pada forum bertajuk “Cabaran Melayu Masa Kini: Memperkasakan Melayu” anjuran Barisan Bertindak Akar Umbi Melayu Terengganu, di sini semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata jika Anwar memperolehi majoriti yang lebih besar, ia tidak bermakna bahawa mantan timbalan perdana menteri itu semakin popular dan mendapat sokongan rakyat.
Sebaliknya, Mahathir berkata ia menunjukkan bahawa BN khususnya Umno sudah semakin tidak diterima rakyat.
“Jika majoriti undi yang diperolehi Anwar kurang…Umno boleh terus ke depan (untuk kembali mendapat sokongan rakyat),” katanya.
Ditanya mengenai pandangan sesetengah pihak supaya beliau bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil itu, Dr Mahathir berkata: “Tak mungkin.
Saya telah berundur pada 2003 dan saya telah kata saya tidak akan datang semula. Tetapi saya punya hak sebagai warga untuk membuat ulasan mengenai negara saya”.
Beliau berkata jika terdapat calon Bebas bertanding pada pilihan raya kecil itu, ia akan hanya memecahkan undi calon BN dan PKR.
“Terpulang siapa (calon Bebas) yang bertanding. Kalau dia daripada serpihan PAS, kemungkinan ia akan mengurangkan undi kepada Anwar…kalau dia bekas Umno, maka dia akan menambah kelebihan undi kepada Anwar.
Tetapi tidak ada kemungkinan calon Bebas ini akan menang,” katanya.
















untuk menempah iklan di web ini.






