MCA gesa syarat milik ekuiti bumiputera dihapus

KUALA LUMPUR: MCA meminta kerajaan Malaysia supaya menghapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam bagi memastikan ia terus bersaing.

Naib Presidennya, Datuk Liow Tiong Lai, berkata ini kerana elemen penting dalam pertumbuhan ekonomi negara itu kini adalah daya saing yang kuat bagi membolehkan negara berhadapan dengan kesan buruk ekonomi dunia.

“Ekuiti perlu dibuka, berikan kelonggaran agar sesebuah syarikat itu berdaya maju dalam menghadapi situasi ekonomi dunia yang semakin meruncing,” katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Deepavali anjuran Kongres India Malaysia (MIC) di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang melahirkan keyakinan bahawa unsur-unsur Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berakhir pada 1990 dan digantikan dengan Dasar Ekonomi Nasional (DEN) pada 1991, boleh dihapuskan secara beransur-ansur.

“Saya sedang berusaha ke arah melaksanakan liberalisasi (unsur-unsur DEB) secara beransur-ansur itu apabila bumiputera sudah mempunyai keyakinan diri.

“Dan sukacita saya nyatakan semakin ramai di kalangan mereka kini sudah mempunyai keyakinan bersaing untuk berjaya di peringkat global dan domestik,’ kata Datuk Seri Najib.

Datuk Liow menambah, sudah tiba masanya merit atau daya saing sesuatu syarikat itu diberikan keutamaan dan bukannya persoalan berkaitan ekuiti bumiputera.

Beliau juga menyarankan agar penekanan diberikan terhadap aspek mewujudkan kerjasama yang jitu antara peniaga Melayu, Cina dan India di Malaysia.

Katanya, syarat pemilikan 30 peratus ekuiti dalam syarikat senaraian awam hanya menjadi halangan dalam mewujudkan satu bentuk kerjasama yang sedemikian rupa.

“Apa yang penting adalah kerjasama jitu tanpa kira peratusan (ekuiti bumiputera),” kata beliau.

Datuk Liow turut mengakui bahawa kerajaan Malaysia telah banyak bertolak ansur dalam isu pemilikan ekuiti sebelum ini.

Utusan Malaysia

Bookmark artikel ini: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google
  • blogmarks
  • co.mments
  • e-mail
  • Internetmedia
  • Live
  • MyShare
  • Technorati
  • Webnews.de
  • YahooMyWeb

Post a Comment