Polis enggan benarkan Anwar dapatkan laporan pengadu
USAHA Dato’ Seri Anwar Ibrahim melalui peguamnya, Sankara Nair bagi mendapatkan laporan polis dibuat Saiful Bukhary Azlan yang mendakwa diliwat bekas Timbalan Perdana Menteri itu terus gagal.
Sankara berkata, beliau telah mencuba sebanyak lima kali - secara lisan dan bertulis - untuk mendapatkan laporan polis Saiful.
Katanya, pada 3 Julai lalu, polis Brickfields telah bersetuju memberi salinan laporan tersebut tetapi enggan berbuat demikian pada hari berikutnya.
“Laporan polis adalah dokumen awam dan tertuduh (orang kena adu) patut diberikan satu salinan,” katanya.
Peguam dan ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi PKR, Latheefa Koya menjelaskan, kebiasaannya, polis akan merahsiakan laporan untuk melindungi identiti pengadu, tetapi dalam kes ini, identiti Saiful sudah diketahui umum.
“Apa yang kami bimbangkan ialah laporan polis tersebut dimanipulasikan selepas polis mengambil kenyataan Anwar,” katanya.
Sebelum itu, Sankara berkata Anwar juga enggan menyerahkan pasportnya seperti diminta oleh pegawai penyiasat kerana beliau belum lagi didakwa di mahkamah.
Katanya, pergerakan Anwar tidak boleh disekat dan menegaskan ketua umum PKR itu akan melaporkan diri di ibu pejabat polis (IPK) Kuala Lumpur pada 18 Ogos seperti yang diminta.
“Ketika itu, mereka boleh memilih untuk melanjutkan tempoh ikat jamin, memutuskan tidak perlu lagi siasatan lanjut atau mendakwa beliau,” tambahnya.
Anwar ditangkap kelmarin untuk membantu siasatan polis terhadap laporan Saiful itu. Beliau dibebaskan dengan ikat jamin polis pada jam 9.45 pagi semalam.
Dalam pada itu usaha polis bagi mendapatkan contoh DNA Anwar gagal apabila beliau enggan memberi kebenaran berbuat demikian ketika dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam.
Bagaimanapun Anwar akan membenarkan polis mengambil sampel DNA darinya jika mahkamah memerintah demikian.
Bahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar turut menegaskan pihak polis akan menggunakan ruang undang-undang yang ada untuk mendapatkan contoh DNA Anwar.
















untuk menempah iklan di web ini.






