Nasional
- August 9, 2008
Zulkifli cadang peguam Islam terajui Majlis Peguam
KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin hari ini mencadangkan peguam beragama Islam supaya menerajui Majlis Peguam, susulan beberapa isu kontroversi dicetuskan majlis itu khasnya melibatkan kesucian agama Islam.
Zulkifli berkata, sudah sampai masanya peguam yang beragama Islam mengambilalih teraju kepimpinan Majlis Peguam, bagi mengelakkan lebih banyak berlaku isu yang boleh menimbulkan kemarahan orang Islam.
“Saya mewakili Persatuan Peguam Islam memberi amaran supaya tidak mencabar umat Islam kerana kesabaran mereka ada hadnya,” katanya.
Zulkifli yang juga ahli exco Persatuan Peguam Islam berkata demikian selepas menyertai perhimpunan membantah penganjuran forum awam ‘memeluk Islam’ anjuran majlis tersebut di sini hari ini.
Tindakan Majlis Peguam yang berdegil untuk meneruskan forum berkenaan telah membangkitkan kemarahan umat Islam khususnya di ibu negara.
Forum awam tersebut akhirnya dihentikan ekoran bantahan umat Islam yang berhimpun di luar bangunan ibu pejabat majlis tersebut hari ini.
Seramai 500 orang berkumpul di depan bangunan Majlis Peguam sejak awal pagi, sambil melaungkan “Hancur Bar Council”, “Hidup Islam” dan “Batalkan Forum”.
Mengulas penganjuran forum itu, Zulkifli berkata Majlis Peguam menganjurkan forum tersebut kerana hendak membuat provokasi terhadap orang Islam.
“Semasa saya berunding dengan presiden dan timbalan presiden Majlis Peguam, saya katakan kepada mereka bahawa forum ini tidak wajar diadakan.
“Saya katakan forum ini menguji kesabaran orang Islam,” katanya yang gembira kerana umat Islam bersatu menyatakan suara mempertahankan hak mereka.
Lagi info di Malaysiakini
















untuk menempah iklan di web ini.






