PAS terus komited dengan Pakatan Rakyat
KUALA LUMPUR: PAS menolak sebarang rundingan bagi mewujudkan kerajaan campuran dengan Barisan Nasional (BN) sama ada di peringkat pusat atau negeri.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata sebarang tawaran untuk mewujudkan kerjasama politik tidak lagi berbangkit.
Serentak itu beliau menegaskan pendirian PAS akan kekal bersama perjuangan Pakatan Rakyat dan akan terus memainkan peranan aktif dan positif dalam pakatan berkenaan.
Bagaimanapun katanya, PAS tidak akan menutup pintu untuk mengadakan perbincangan bagi kepentingan Islam dan rakyat dengan mana-mana parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO).
“PAS akan terus terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan parti-parti politik, badan bukan kerajaan, institusi ataupun mana-mana individu demi kepentingan agama dan rakyat,” kata Haji Hadi dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut petang tadi.
Menjawab pelawaan pemimpin BN untuk membentuk kerajaan campuran dengan parti itu Haji Hadi sebaliknya mempelawa mereka bersama-sama dalam Pakatan Rakyat.
“Kita mengajak ahli-ahli parlimen BN menyertai Pakatan Rakyat untuk sama-sama sokong dan dukung perubahan yang hendak dilaksanakan,” katanya.
Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil oleh parti tersebut terhadap mana-mana pimpinan yang mengadakan pertemuan sulit dengan BN, katanya, “tiada yang sulit lagi, kita mengatakan boleh mengadakan pertemuan dengan syarat ia dimaklumkan kepada parti.”
PAS juga katanya menghargai sokongan bukan Islam dan mereka akan diberikan peranan lebih pada masa akan datang dalam arena politik bersama PAS.
Dalam pada itu, Ustaz Abdul Hadi turut menyatakan bahawa pihaknya turut menyatakan sokongan dalam isu Penasihat KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Isu tersebut hendaklah diselesaikan mengikut syariat Islam, berdasarkan perlembagaan 121 yakni kes yang berkaitan dengan agama Islam hendaklah dirujuk kepada Mahkamah Syariah.
“Saya tidak mahu isu ini dipolitikkan. Kalau sekiranya ia tidak boleh (dirujuk kepada mahkamah syariah) Umno kena buat perubahan.
“Ya, saya membela siapa yang kena zalim termasuk Dato’ Seri Anwar,” ujarnya.
Sidang media tersebut diadakan sebaik selesai Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS yang dibuat secara bulanan, yang turut dihadiri Majlis Syura Ulama’.
Musyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat turut hadir pada mesyuarat tersebut.
Begitu juga Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Nuridah salleh.
















untuk menempah iklan di web ini.







1 Trackback(s)