Politik
- August 2, 2008
Hak Wan Azizah untuk lepas jawatan - TG Nik Aziz
RANTAU PANJANG: Tindakan Presiden PKR, Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh perlu dihormati dan tidak wajar ada pihak yang mempertikaikannya, kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Sambil memberikan sokongan beliau kepada Penasihat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Permatang Pauh, Tuan Guru Nik Aziz menegaskan Wan Azizah mempunyai hak mutlak untuk berundur bagi memberi laluan kepada suaminya itu.
“Hak dia untuk lepaskan jawatan (bagi memberi laluan Anwar bertanding)… kalau saya nak lepaskan jawatan pun hak saya juga dan saya sendiri tidak ada sebab untuk tidak menyokong Anwar nak bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Masjid Tahfiz al-Riyadh di sini hari ini.
Tuan Guru Nik Aziz juga yakin isu negatif yang dikaitkan dengan Anwar tidak akan menjejaskan kredibilitinya dan tidak mustahil untuk beliau meraih majoriti undi lebih besar pada pilihan raya kecil itu kelak.
“Rakyat kini dah akil baligh (matang). Mereka boleh faham dan nilai sesuatu perkara dan bagi saya isu yang dikaitkan dengan Anwar adalah isu jijik yang sepatutnya tidak terlalu diperbesarkan,” katanya.
Tuan Guru Nik Aziz berkata demikian sebagai mengulas kenyataan beberapa pemimpin Umno yang mempertikaikan tindakan Wan Azizah melepaskan jawatan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh.
Antaranya ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Seri Syed Hamid Albar yang menyifatkan tindakan Wan Azizah melepaskan jawatan anggota Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya sebagai menyusah dan membebankan rakyat.
Beliau berkata tindakan itu juga merupakan satu pembaziran kerana pilihan raya kecil yang akan diadakan melibatkan banyak perbelanjaan daripada segi logistik termasuk kawalan keselamatan.
“Dalam masa yang singkat selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas, Dr Wan Azizah telah melepaskan jawatannya, daripada segi politik pengundi telah beri sokongan dan mahu dia jadi wakil mereka.
“Tindakan ini menyusahkan rakyat dan membebankan duit rakyat yang digunakan untuk pilihan raya (kecil) itu,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai kawalan keselamatan dan ketenteraman awam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari Sabtu.
Khamis lepas, Wan Azizah mengumumkan keputusan melepaskan jawatan anggota Parlimen Permatang Pauh berkuatkuasa serta merta bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar yang juga Penasihat PKR untuk bertanding di situ pada pilihan raya kecil, yang tarikhnya akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya pada mesyuaratnya Rabu ini.
















untuk menempah iklan di web ini.






