HEBAHANLAIN-LAINSUKANTERKINI

Kelantan United Pasukan ‘Patuh Syariah’ Harapan Terbaru Peminat Bola Sepak Kelantan

Rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang ini boleh menarik nafas lega kerana pasukan berstatus kelab, Kelantan United FC (KUFC) menjadi “penyelamat” yang memastikan lampu limpah Stadium Sultan Muhammad IV terus terang-benderang.

Kehadiran pasukan yang terkenal dengan slogan “Kita Sahut, Kita Lawan” itu tepat pada masanya pada saat bahtera The Red Warriors (TRW) seakan-akan “karam” dipukul gelombang kewangan yang kronik sejak beberapa tahun ini.

Kemunculan pasukan “Kijang Hijau” itu boleh dikatakan tonik buat rakyat Kelantan untuk terus menjadi pemain ke-12, apabila pasukan utama TRW yang sebelum ini pernah merangkul juara “treble” dan digeruni pasukan lawan berdepan masalah pengurusan apabila gagal memburu sebarang kemenangan, malah turun ke Liga Perdana pada 2019.

Kelantan United semakin mendapat tempat di hati penyokong apabila muncul juara Liga M3 2019 apabila berjaya mengumpul 66 mata selepas 26 perlawanan sekali gus melayakkan pasukan itu beraksi di Liga Perdana tahun ini.

Boleh dikatakan kehadiran pasukan Kelantan United dalam Liga Perdana yang turut disertai TRW merupakan “2 beradik” yang bakal membawa nama negeri Serambi Mekah itu kembali digeruni.

Lebih menarik Kelantan United hadir dengan identiti tersendiri dengan imej pasukan patuh syariah apabila semua pemain Muslimnya dididik menutup aurat semasa beraksi.

Malah pasukan yang boleh digelarkan patuh syariah itu tampil dengan himpunan pemain berbakat yang pernah membarisi skuad TRW sebelum ini, termasuk “Captain Marvel” Mohd Badhri Radzi atau Piya.

Bukan sahaja Piya, Kelantan United turut dibarisi beberapa pemain berbakat lain yang pernah menyarung jersi kebangsaan antaranya, Daudsu Jamaludin, Amiridzwan Taj Tajudin, di samping beberapa pemain berpengalaman lain seperti Fakrul Zaman Zawawi, Muhamad Shahrul Hakim, Shahrizan Ismail, Rozaimi Azwar dan Nizab Ayub.

Hasil gandingan pemain yang membawa pasukan itu menjadi juara Liga M3, sekali gus membangkitkan semula minat orang Kelantan untuk kembali memenuhkan Stadium Sultan Muhammad IV.

KOTA BHARU 06 NOVEMBER 2019. Ketua Pasukan Kelantan United FC, Mohd Shahrizan Ismail (dua dari kiri) menjulang piala Liga M3 bersama pasukannya selepas memenangi, di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. STR/NIK ABDULLAH NIK OMAR.

Menerusi aksi pasukan itu tahun lepas, peminat nyata teruja melihat ketajaman penyudah pasukan itu yang menjaringkan lebih 100 gol sepanjang aksi Liga M3 dan saingan Piala FA 2019.

Malah kehadiran Kelantan United bimbingan Zahasmi Ismail dalam saingan Liga Perdana musim 2020 memeriahkan bola sepak di negeri itu yang pernah terkenal dengan penyokong fanatik apabila turut bersaing dengan skuad utama TRW yang ini dalam proses memulihkan kembali pasukan.

Ketika diwawancara oleh FMT, presiden Kelantan United Che Abdullah Mat Nawi meletakkan sasaran layak ke Liga Super dalam tempoh 3 tahun selepas ia dijenamakan semula daripada pasukan asal Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam Urusetia Belia dan Sukan Negeri Kelantan Football Club (MPKB-BRI UBES FC) pada awal tahun 2019.

Abdullah turut mengakui kelainan pasukan Kelantan United berbanding pasukan lain antaranya, termasuklah imej pakaian pasukan yang patuh syariah.

Dengan disiplin yang kuat, Kelantan United boleh dikatakan sebagai pasukan ‘patuh syariah’. Budaya dalam pasukan membuatkan pemain menyambut baik dan berminat dengan garis panduan yang diletakkan pihak pengurusan, termasuk berpakaian patuh syariah.

Walaupun Kelantan United mengamalkan budaya patuh syariah, pasukan itu terbuka kepada semua, termasuk bukan Islam.

Abdullah mengakui Kelantan United bukanlah pasukan kaya, bagaimanapun pihaknya akan memastikan pasukan boleh digerakkan setanding dengan pasukan ternama yang lain.

Show More

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close