SENI BUDAYATRAVEL

Taman Serendah Sekebun Bunga (Tapak Peninggalan Cik Siti Wan Kembang)

Pasti ramai yang menyedari akan kewujudan Taman Serendah Sekebun Bunga, peninggalan Cik Siti Wan Kembang yang terkenal sebagai seorang wanita yang menerajui pemerintahan Kelantan pada masa silam.

Taman ini mungkin boleh mengimbau bayangan terhadap Cik Siti Wan Kembang dan anak angkatnya, Puteri Saadong yang kisah mereka sering disaluti mitos dan legenda oleh masyarakat Kelantan.

Taman Serendah Sekebun Bunga ini terletak di kawasan yang agak berbukit dan terdapat sebuah kolam, dikelilingi pohon menghijau dan udara yang nyaman, baginda dan Puteri Saadong dikatakan menghabiskan waktu terluang mereka di sini.

Taman Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayong yang menjadi tempat permainan dan bersuka ria baginda dan anak angkatnya Puteri Saadong merupakan sebahagian daripada kota yang dibina oleh raja keenam Kelantan itu di satu kawasan hutan yang dipenuhi pokok tegayong.

Cik Siti Wan Kembang membina Kota Tegayong sebagai pusat pentadbiran baru baginda selepas pemerintahannya di Gunung Chintawangsa di kawasan pedalaman Kelantan.

Baginda yang memerintah negeri dari 1610 sehingga 1677 tersebut telah membuka Kota Tegayong setelah mudik ke hilir Sungai Kelantan apabila menjalinkan hubungan persahabatan yang erat dengan Raja Jembal.

Pakar sejarah mengatakan Cik Siti Wan Kembang telah kembali semula ke Gunung Chintawangsa di hujung pemerintahannya dan kisah mengenai baginda lenyap di situ.

Sepeninggalan baginda, hanyalah tapak sebuah taman purba yang wujud pada abad ke-17, selain keindahan nama timangan bagi sebuah negeri dan pemerintah wanita tersohor.

Tapaknya berdekatan Kampung Kedai Piah, Pangkal Kalong, 25 kilometer dari bandar Kota Bharu dan kira-kira 500 meter dari jalan utama, namun tiada petunjuk untuk ke situ.

Walaupun begitu, terdapat sebuah pasar mini yang memakai nama Sekebun Bunga yang boleh memberi petanda bahawa anda sudah semakin hampir untuk ke tempat yang dituju.

Taman Serendah Sekebun Bunga juga telah dimasukkan dalam senarai tempat menarik untuk dikunjungi dalam laman web Majlis Daerah Ketereh. Taman ini dikatakan dijaga oleh Mohd Sidek Mat Husin, 40, iaitu seorang peniaga yang mengawasi taman itu sejak 2007. Beliau diminta oleh arwah sepupunya Hashim Isa, penjaga asal lokasi bersejarah tersebut untuk terus menjaga taman itu agar tidak lenyap ditelan zaman.

Taman ini dikatakan pernah terbiar dan hampir tidak diketahui umum akan kewujudannya. Ditambah lagi, kawasan ini pernah dijadikan sebagai tempat pembuangan sampah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menurut Mohd. Sidek, sepupunya yang pernah menjadi tok dalang muda wayang kulit di bawah naungan ‘Dollah Baju Merah’ mula menjaga kawasan itu kerana beliau tahu akan sejarah taman ini. Oleh itu, selepas pencen kerja dengan Jabatan Kerja Raya, atas rasa tanggungjawab, dia sepenuh masa menjaganya kerana tidak mahu anak cucu hilang sejarah negeri,” katanya.

Mohd. Sidek menceritakan, semasa hayatnya, Hashim akan mengadakan jamuan pada setiap Hari Keputeraan Sultan Kelantan dan Hari Kemerdekaan bersama-sama peminat sejarah Cik Siti Wan Kembang di situ.

“Hashim yang juga pengamal perubatan tradisional menjaga kebersihan taman dan mengawasi pengunjung daripada melakukan perkara tidak senonoh di situ,” ujar beliau.

Tambahnya, semasa sepupunya masih hidup, arwah menjaga tempat itu sepenuh masa dengan baik kerana niatnya untuk terus mengekalkan keindahan yang ada di taman tersebut. Tetapi, tugas yang diwarisi tidak dapat ditumpukan sepenuhnya kerana urusan perniagaan.

“Ada masa saya datang untuk membersihkan kawasan itu seperti membuang semak samun di kawasan taman. Tapi kudrat saya tidaklah sekuat mana.

“Kalau ada bantuan daripada majlis daerah mengurus tempat ini adalah lebih baik. Bimbang lama-lama nanti kalau saya tidak sempat, makin terbiar pula.

“Alhamdulillah walaupun kawasan ini tersembunyi, belum ada kes lagi orang melakukan kerja tak senonoh seperti menagih dadah atau maksiat,” ujarnya.

Walaupun demikian, Mohd. Sidek berkata setiap minggu ada saja pengunjung yang datang ke situ untuk mandi di kolam taman tersebut kononnya air kolam di taman itu dapat mengubati pelbagai penyakit seperti buatan orang atau untuk mudah mendapat jodoh.

Mohd Sidek. mendakwa harta karun juga pernah dijumpai di situ namun, katanya, apa yang dijumpai itu mungkin mempunyai kaitan dengan orang kampung yang menyembunyikan barangan berharga mereka semasa Jepun menyerang Tanah Melayu.

Seorang penduduk di kampung berdekatan, Noorafiza Mohd. Azmi, 22, berkata, dia tidak hairan masih ada orang mengunjungi taman tersebut walaupun agak terbiar kerana suasananya yang nyaman.

“Kawasannya sejuk sahaja. Tapi ada juga orang datang ambil air kolam untuk mengubat penyakit gatal kulit,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Suri Mohd. Noor, 22, pula berkata, dia sekurang-kurangnya sebulan sekali ke kawasan cerang itu.

“Saya akan pergi bersama kawan mengambil angin. Ada macam-macam cerita mengenai kolam itu.

“Khabarnya ada ‘buaya putih’ yang memunculkan diri kepada orang tertentu sahaja,”. Sumber Utusan Online (2009).

Show More

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close