TERKINITRAVEL

15 Tempat Menarik di Kelantan (Destinasi Percutian Anda !)

Negeri Kelantan terletak di Semenanjung Malaysia yang mempunyai kedudukan yang strategik.

Berhampiran dengan pantai bersempadan pula dengan Thailand semestinya menjadi lokasi pelancongan menarik untuk dilawati.

Terdapat banyak pantai yang cantik-cantik bertemankan bayu laut dan pemandangan indah yang pastinya memukau mata para pelancong.

Jika anda sedang merancang percutian ke Kelantan, di sini saya senaraikan 15 tempat menarik di Kelantan yang harus dilawati.

1. Pantai D'Aur

Pantai D’Aur terletak di daerah Bachok. Merupakan salah satu lokasi paling ramai dikunjungi kerana dekorasi tempatnya yang cantik.

Kawasan ini dijaga rapi untuk mengekalkan kecantikan pantai supaya sentiasa dalam keadaan bersih dan selamat. Memiliki pasir pantai berwarna putih dan pemandangan yang sangat indah terutamanya pada waktu matahari terbenam.

Tempat ini sangat sesuai dijadikan tempat bersantai, berswafoto, menyambut hari-hari penting bersama rakan dan pasangan. Bayaran masuk hanyalah 5 ringgit untuk sebuah kereta.

2. Pantai Cahaya Bulan

Pantai Cahaya Bulan merupakan pusat peranginan yang terawal dibangunkan di Kelantan.

Jika dahulu dipanggil dengan Pantai Cinta Berahi namun ditukar oleh Menteri Besar Kelantan suatu ketika dahulu kerana kurang elok panggilannya. 

Lokasi pantai ini paling dekat dengan Bandar Kota Bharu menjadikan pelancong sering mengunjung ke sini untuk bersiar-siar bersama keluarga mahupun rakan-rakan. 

Pantai ini menarik kerana memiliki air laut yang bersih serta kawasannya yang panjang dan lebar yang dikelilingi batu.

Pantai ini juga mempunyai tembok sebagai benteng daripada hakisan air laut serta turut menjadi tempat untuk pelancong  menikmati pemandangan laut serta tiupan angin pantai yang nyaman. 

Terdapat juga pelbagai pilihan gerai makanan yang dijual di sini serta resort sebagai kemudahan penginapan kepada pelancong.

3. Pantai Geting

Pantai Geting Tumpat antara sebuah tempat peranginan yang sesuai sesuai untuk mengadakan aktiviti berkeluarga kerana keluasan tempatnya yang agak besar .

Paling meriah pada hari Jumaat kerana pelbagai gerai makanan dan pakaian dijual disekitar ini.

Kemudahan asas turut disediakan di sini seperti tandas, wakaf, tempat letak kereta dan  taman permainan untuk kanak-kanak.

Pelbagai juga aktiviti sukan untuk kanak- kanak yang ditawarkan seperti supa dupa, belon air, dan bermacam-macam lagi.

Akan tetapi, pantai ini tidak sesuai untuk kanak-kanak bermandi-manda kerana ombaknya begitu besar dan agak curam. Kalau hanya hendak bermain layang-layang, pasir atau permainan kanak-kanak boleh kerana pantai ini mempunyai padang berpasir yang sangat luas.

Pesta Wau Antarabangsa juga turut sesuai diadakan di sini kerana cuaca dan tiupan angin di sini agak baik. Pantai ini memang terkenal dengan acara pesta wau yang sangat meriah untuk anda pergi.

4. Pantai Sri Tujuh

Pantai Seri Tujuh yang terletak di Tumpat ini antara kawasan rekreasi paling meriah dikunjungi terutamanya pengunjung dari Kelantan.

Dinamakan dengan nama Pantai Seri Tujuh kerana memiliki tujuh teluk di kawasan sekitarnya.

Tidak hairanlah, jika hujung minggu atau setiap petang ramai orang bersiar-siar di sekitar ini kerana tempatnya agak unik yang mana ia memiliki tasik dan pantai bertembung antara satu sama lain.

Paling menarik adalah permainan sukan air seperti paddle boat dan berkayak boleh bermain di sini dengan harga rm13-14 untuk satu permainan.

Tempat ini juga sesuai dijadikan tempat untuk berkelah kerana kawasannya agak teduh yang dikelilingi pokok rhu.

5. Street Art Kota Bharu

Street Art Kota Bharu merupakan satu lokasi yang menghasilkan lukisan mural yang sangat kreatif.

Jika anda berada di bandar Kota Bharu, anda patut singgah ke sini kerana tempat ini pasti membuat anda teruja.

Kebanyakan mural yang dihasilkan di sini berunsurkan islamik. Jika diperhati, lukisan yang terdapat di sini bertemakan ‘impian’ dan ‘kebahagian’ .

Setiap lukisan yang dihasilkan mempunyai nilai ceritanya tersendiri sebagai contoh keadaan orang Palestin yang penuh penderitaan dan kesengsaraan yang pasti membuat anda tersentuh hati apabila melihat hasil mural di sini.

Antara mural yang paling menakjubkan yang dihasilkan adalah hamparan permaidani bertemakan morocco yang begitu kreatif, sangat cantik untuk anda bergambar dengan hasil mural sebegini.

6. Kelantan River Cruise

Kelantan River Cruise terletak di Medan Ikan Bakar Kedai Buluh bersebelahan dengan Warung Pak Mat Pulau Pisang sering menjadi perhatian pelancong untuk menerokai pemandangan indah di sekitar Sungai Kelantan.

Apa yang paling menarik,  di Kelantan MiB River Cruise, mereka  menyediakan Perkhidmatan Sewaan Floating Chalet yang terletak di perkarangan Sungai Kelantan yang mempunyai 3 bilik tidur berhawa dingin yang membolehkan para pelancong untuk berehat dengan tenang.

Di sini juga, anda boleh menyelusuri seluruh pulau yang terdapat di sini dengan melihat bagaimana penduduk di sini membaiki bot atau kapal mereka. 

Aktiviti memancing ikan di tengah-tengah sungai atau tepi sungai antara sukan air paling digemari penduduk tempatan di sini.

7. Pantai Mek Mas

Pantai Mek Mas antara salah satu lokasi yang terpencil yang jarang diketahui ramai orang.

Namun, tempatnya agak menarik kerana ia adalah sebuah pantai yang bersambung dengan sungai serta  mempunyai beberapa gunung berpasir.

Jika anda mahu feeling-feeling di padang pasir atau berada di kawasan gurun sahara, di sini adalah tempat yang sesuai untuk anda mendapatkan gambar yang cantik bersama rakan atau yang tersayang.

Tempat ini juga sesuai dijadikan tempat untuk majlis tertentu seperti wedding photoshoot, pre-wedding atau pre-konvo yang pastinya mendapatkan hasil gambar yang sangat menakjubkan. 

8. Pantai Sabak

Pantai Sabak terletak di Pengkalan Chepa tidak jauh daripada Airport Kelantan.

Di Pantai Sabak inilah lokasi serangan pertama Jepun di Tanah Melayu. Pihak Inggeris juga ada membina kubu pertahanan di sini.

Pantai ini antara pantai paling ramai dikunjungi pelancong asing untuk berjemur sambil merasai suasana panas di tepi pantai. 

Jika dilihat pantai ini merupakan pantai yang menempatkan bot-bot nelayan yang keluar masuk di kala mencari rezeki. 

Paling femes di sini adalah restoran ikan celup tepung atau dikenali sebagai Acu Tera yang mana sering dikunjungi penduduk tempatan kerana keenakan dan kesegaran makanan laut yang boleh didapatkan di sini.

9. Pantai Tok Bali

Pantai Tok Bali merupakan pantai yang menjadi penempatan para nelayan yang melakukan aktiviti penangkapan ikan di laut.

Pantai ini terkenal menjual pelbagai makanan laut yang segar dengan harga yang berpatutan.

Pantai ini juga menjadi tumpuan para pelancong serta penduduk sekitar ini untuk menikmati keindahan pantai yang agak tenang. 

Juga terkenal dengan beberapa gerai makanan laut yang sedap kerana kebanyakan ikan, sotong, udang semuanya dimasak segar.

10. Menara Jam Tambatan D’Raja

Menara Jam Tambatan D’Raja adalah sebuah menara jam di pusat bandar Kota Bharu. Ia terletak di sebelah tambatan diraja.

Menara jam ini juga menjadi salah satu daripada mercu tanda yang baru untuk bandar ini. Ia mempunyai ketinggian 150 kaki, dan telah dibuka kepada orang awam untuk melihat pemandangan indah disekitar Sungai Kelantan dan bandar Kota Bharu.

Bayaran masuk ke menara jam ini adalah RM2 untuk warga asing dan RM1 untuk pemegang MyKad.

11. Pantai Irama Bachok

Pantai Irama adalah pantai paling terkenal di Bachok.

Dinamakan dengan Pantai Irama kerana seolah-olah bunyi tiupan angin yang menenangkan jiwa. 

Pantai ini sangat cantik, memiliki air laut berwarna biru serta dikelilingi pokok rhu dan kelapa sesuai dijadikan tempat untuk bersantai. 

Saban hari, pengunjung tempatan akan ke sini untuk melakukan aktiviti pantai seperti berkuda, berbasikal, banana bot dan macam-macam lagi.

Ada juga gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis pakaian, makanan dan minuman. Pilihan restoran  yang sedap-sedap juga terdapat di sini.

12. Pantai Bisikan Bayu

Pantai Bisikan Bayu merupakan pusat pelancongan yang terawal dibangunkan di Pasir Puteh.

Pelbagai kemudahan asas disediakan di sini seperti bilik persalinan, surau, tandas dan taman permainan.

Pantai ini sesuai dijadikan destinasi penginapan bersama keluarga kerana terdapat banyak chalet yang disertakan dengan kolam renang sebagai aktiviti rehlah bersama yang tersayang.

13. Tasik Danau Tok Uban

Tasik Danau Tok Uban merupakan tempat paling menarik di daerah Pasir Mas.

Tasik ini dijadikan tempat sukan memancing kerana terdapat beberapa spesis ikan yang membiak di dalam tasik ini yang paling digemari penduduk di sini.

Terdapat juga satu masjid yang dikenali dengan Masjid Brunei tersergam indah di tepi Tasik Danau Tok Uban yang digunakan oleh pelajar tahfiz untuk mendalami ilmu agama.

Tasik ini juga sesuai dijadikan aktiviti perkelahan bersama keluarga kerana tempatnya aman dan damai dihiasi rimbunan pokok hijau di kiri dan kanan tasik ini.

14. Pantai Senok

Pantai Senok juga dikenali sebagai ‘Pulai Nami’ yang terletak di daerah Bachok kini sering ditarik perhatian pengunjung setempat mahupun pelancong luar sejak lokasi ini menjadi viral di Facebook.

Pemandangan di Pantai Senok ini umpama di ‘Nami Island’ yang dikelilingi pokok rhu yang disusun cantik dan lurus secara semulajadi.

Pantai ini sesuai dijadikan tempat untuk berswafoto bersama keluarga dan rakan atau tempat untuk sambutan acara tertentu seperti pre-konvo, pre-wedding dan sambutan hari jadi. 

Jadi, tidak rugi anda ke sini dan wajib pergi kalau anda mahu dapatkan hasil gambar yang cantik.

15. Tok Aman Bali Beach Resort

Tok Aman Bali Beach Resort merupakan destinasi percutian yang bertaraf 4 bintang.

Kalau dilihat di tepi jalan resort ini sangat cantik kerana senibina yang klasik serta dikelilingi tasik.

Memang tidak dinafikan sekiranya anda masuk, persekitaran dan pemandangan resort ini sangat cantik yang berkonsepkan tradisional.

Resort ini sangat sesuai untuk dijadikan tempat berhoneymoon atau bercuti bersama keluarga kerana tempat ini cukup memberi ketenangan kepada jiwa.

Pelbagai juga pakej yang ditawarkan di sini dengan harga yang berpatutan serta memberi keselesaan dan keseronokan kepada anda sepanjang bercuti.

Tags
Show More

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close